Belanjawan 2023 diharap dapat tangani cabaran pemilikan rumah, kata PropertyGuru


KETIDAKTENTUAN ekonomi telah menyebabkan bakal pembeli rumah menangguhkan rancangan pembelian hartanah pertama mereka, menurut PropertyGuru Malaysia.

Sesetengah pembeli juga bimbang tentang isu kemampuan di tengah-tengah kenaikan inflasi dan kadar dasar semalaman (OPR), menurut kenyataan daripada platform hartanah dalam talian itu.

Oleh itu, firma hartanah berkenaan berharap Belanjawan 2023 kali ini akan menyasarkan pemilikan rumah agar lebih mudah dicapai bagi golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

Memetik Kajian Sentimen Pengguna bagi separuh pertama 2022, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata isu kemampuan terus menjulang dengan 51 peratus responden tidak dapat membeli rumah tanpa bantuan kerajaan, manakala 69 peratus merancang membeli rumah jika Kempen Pemilikan Rumah (HOC) diadakan semula.

HOC telah banyak membantu pembeli kali pertama serta berjaya menggalakkan aktiviti dalam pasaran hartanah yang perlahan dan ia akan memberi manfaat lebih banyak lagi jika turut diperluaskan ke pasaran sekunder.

“Ini akan membantu mewujudkan permintaan selain menggalakkan lagi pemilikan rumah dengan menyediakan pilihan dan titik harga bagi bakal pembeli jika hartanah sub-jualan dimasukkan,” katanya.

Selain itu, PropertyGuru Malaysia juga berharap kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan atau menghapuskan duti setem bagi hartanah kediaman RM500,000 dan ke bawah untuk semua rakyat Malaysia dalam usaha merancakkan lagi pasaran.

“Kami memuji langkah kerajaan melancarkan Inisiatif Pemilikan Rumah Malaysia (i-MILIKI) pada awal tahun ini termasuk pemberian pengecualian duti setem kepada pembeli kali pertama.

“Bagaimanapun, berdasarkan penemuan baru-baru ini dalam Laporan Pasaran Hartanah Malaysia untuk suku ketiga 2022, permintaan sewa menyaksikan lonjakan besar sebanyak 96.83 peratus dari tahun ke tahun, menunjukkan bahawa pembeli berpotensi telah mengambil jalan keluar untuk menyewa dalam interim,” katanya.

Sheldon berkata isu hartanah tidak terjual juga terus menjadi perhatian, dengan kajian terbaru oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menonjolkan bahawa unit kediaman tidak terjual menokok kepada 35,592 unit menjelang suku pertama 2022 berbanding 27,468 unit pada suku pertama 2021.

Dalam laporan separuh pertama 2022 terkini sehingga 30 Jun 2022, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara merekodkan lebihan jualan kediaman sebanyak 34,092 unit, bernilai RM21.73 bilion, tidak termasuk pangsapuri servis dan pejabat kecil, pejabat rumah atau SoHo.

Walaupun kerajaan sedang berusaha untuk menyediakan subsidi bersasar kepada rakyat, pembeli rumah yang bersungguh-sungguh akan mendapat manfaat daripada lebih banyak skim yang serupa dengan Skim MyHome, yang bertujuan untuk membolehkan pembeli kali pertama mendapatkan perumahan kos rendah melalui subsidi kerajaan.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan mengkaji penyediaan skim subsidi bagi setiap rumah yang dijual dengan memberikan subsidi pendahuluan kepada pemaju termasuk yuran deposit pembeli dan sebarang jumlah pembayaran yang layak diperlukan untuk mengurangkan bayaran balik bulanan.

Selain itu, beliau mahu Belanjawan 2023 meneliti isu alam sekitar yang berterusan, kesiapsiagaan menghadapi bencana alam dan agenda jangka panjang yang sama penting dalam menggalakkan kehidupan bandar yang mampan.

Katanya lagi, syarikat itu sedar bahawa kos pembinaan bangunan hijau mungkin agak mahal. Oleh itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian duti setem kepada pembeli hartanah yang mendapat perakuan mesra alam. – Bernama, 22 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen