INISIATIF Keselamatan Global yang diperkenalkan China penting bagi mendorong keamanan di rantau Asia Barat, kata Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China Wang Yi.
Beliau berkata China bersedia mengambil peluang daripada pelaksanaan inisiatif itu bekerjasama dengan negara-negara di Asia Barat dan dunia untuk membina rangka keselamatan baharu Asia Barat.
Wang Yi mencadangkan negara-negara Asia Barat supaya mengekalkan konsep keselamatan baharu yang saksama, komprehensif, kolaborasi dan mampan, mengutamakan peranan negara-negara Asia Barat, mempertahankan maruah dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta meningkatkan dialog keselamatan serantau.
“Presiden China, Xi Jinping mengemukakan Inisiatif Keselamatan Global pada April lalu yang menjelaskan kaedah bagi mewujudkan keselamatan bersama.
“Ia juga amat penting bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat,” katanya ketika menyampaikan ucapan menerusi video pada majlis perasmian Forum Keselamatan Asia Barat kedua pada Rabu.
Menurut beliau sebagai rakan strategik negara-negara Asia Barat China sentiasa berusaha untuk menggalakkan keamanan dan menyokong pembangunan di Asia Barat.
“China komited terus bekerjasama dengan negara-negara Asia Barat dan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rautau itu,” katanya.
Forum Keselamatan Asia Barat kedua yang bertemakan “Mendorong Pembinaan Rangka Keselamatan Asia Barat Baharu dan Realisasikan Keselamatan Serantau Bersama” diadakan di Beijing secara hibrid pada 21 September. – Bernama, 22 September, 2022.
Komen