AHLI Dewan Negara merangkap Menteri Luar China Wang Yi berkata kerjasama antara China dengan Amerika Syarikat (AS) bukan hanya membawa manfaat buat kedua-dua negara ini malah kepada dunia.
Asas politik antara kedua-dua negara perlu dipupuk dengan baik, khususnya prinsip Satu China, katanya ketika mengadakan pertemuan dengan wakil diplomatik dan perdagangan AS di New York pada Isnin.
Wang Yi berkata faktor penentu dalam hubungan China-AS semakin berkurangan manakala faktor tidak menentu kian bertambah.
Bagaimanapun, menurut Wang Yi, faktor penentu pihak China adalah jelas dan konsisten yang dapat dilihat daripada prospek pembangunan negara ini.
Kongres Kebangsaan Ke-20 Parti Komunis China (PKC) akan diadakan dalam masa terdekat dan ia akan menetapkan pelan dan sasaran pembangunan China pada masa akan datang.
Pembangunan China bukan sahaja akan membawa kesejahteraan kepada lebih 1.4 bilion rakyat negara ini, bahkan akan menyediakan lebih banyak peluang pembangunan kepada dunia termasuk AS.
Wang Yi berkata China akan terus memperkasakan pembaharuan dan keterbukaan, serta menyumbang kepada pembinaan ekonomi dunia yang terbuka dan mendorong globalisasi ekonomi.
Pada masa sama, dasar China terhadap AS adalah konsisten, sementara pihak AS digesa mengamalkan dasar rasional dan pragmatik terhadap China.
Wang Yi menegaskan bahawa sikap China untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan AS tidak berubah.
“China mengalu-alukan firma AS menjalankan perniagaan di China. Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan AS perlu ditingkatkan, tetapi bukan dikurangkan.
“Kedua-dua pihak patut mengadakan dialog dan muafakat demi kepentingan bersama,” katanya. – Bernama, 21 September, 2022.
Komen