Keluarga 43 pelajar Mexico hilang gesa Israel ektradisi suspek


Penunjuk perasaan mengecat tembok Kedutaan Israel, di Mexico City, Mexico, 21 September 2022. Aktivis dan keluarga 43 pelajar Mexico membantah di luar kedutaan menuntut ekstradisi Tomas Zeron, bekas pengarah agensi penyiasat yang dituduh melakukan penyelewengan dalam kes itu. – Gambar EPA, 22 September, 2022.

KELUARGA 43 pelajar Mexico yang hilang pada 2014 melakukan protes pada Rabu di luar kedutaan Israel, menuntut ekstradisi seorang bekas penyiasat terkemuka yang dikehendaki berhubung kes itu.

Tomas Zeron, yang sebelum ini mengetuai Agensi Siasatan Jenayah Mexico, dituduh memanipulasi siasatan terhadap satu daripada tragedi hak asasi manusia paling buruk di negara itu.

Zeron adalah seorang daripada arkitek kepada apa yang dipanggil “kebenaran sejarah kes,” versi rasmi kes yang dibentangkan pada 2015 dan ditolak oleh keluarga mangsa serta pakar bebas.

“Israel melindungi Tomas Zeron, seorang pelanggar hak asasi manusia yang menyeksa mereka ditahannya pada masa itu untuk membina ‘kebenaran sejarah kes’,” kata Meliton Ortega, wakil keluarga pelajar kepada AFP.

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan Israel di Mexico City, tanpa kehadiran polis kelihatan.

Ada yang membawa gambar pelajar hilang manakala yang lain melukis grafiti di dinding kedutaan.

Mexico berulang kali meminta Israel menyerahkan Zeron, yang dituduh menculik, menyeksa suspek dan memanipulasi bukti—dakwaan yang dinafikannya.

Seramai 43 pelajar kolej perguruan menaiki bas di selatan Guerrero untuk pergi ke demonstrasi di Mexico City sebelum mereka hilang.

Penyiasat berkata mereka ditahan oleh polis korup dan diserahkan kepada kartel dadah yang menganggap mereka sebagai ahli kumpulan pesaing, tetapi apa yang berlaku kepada mereka menjadi pertikaian.

Setakat ini, hanya tiga mayat mangsa dikenal pasti.

Bulan lalu, suruhanjaya yang ditugaskan oleh kerajaan semasa untuk menyiasat kekejaman itu menyifatkan kes itu sebagai “jenayah negara” yang melibatkan ejen pelbagai institusi.

Ia berkata anggota tentera bertanggungjawab sama ada secara langsung atau melalui kecuaian.

Pendakwa raya mengumumkan bulan lalu yang waran tangkap dikeluarkan untuk lebih 80 suspek, termasuk 20 anggota tentera, 44 pegawai polis dan 14 anggota kartel.

Pada hari yang sama, bekas peguam negara Jesus Murillo Karam, yang mengetuai penyiasatan ditahan atas tuduhan kehilangan paksa, penyeksaan dan menghalang keadilan.

Minggu lalu, kerajaan berkata seorang jeneral tentera dan dua lagi anggota tentera turut ditahan. – AFP, 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen