Sekolah, tadika masih galak pelajar pakai pelitup muka, kata persatuan


Angie Tan

Walaupun kerajaan membatalkan pemakaian topeng pelitup muka di dalam bangunan namun sekolah dan tadika masih mengekalkan peraturan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2022.

SEKOLAH dan tadika tetap mengekalkan pemakaian topeng pelitup muka di premis mereka walaupun kerajaan memutuskan untuk membatalkan pemakaian topeng pelitup muka di dalam bangunan.

Guru berkata pencegahan adalah lebih baik kerana kes masih beribu-ribu setiap hari.

Presiden Persatuan Tadika Malaysia Sally Ng berkata mereka masih menggalakkan pemakaian topeng pelitup muka kerana penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

“Kes Covid-19 masih belum hilang sepenuhnya dan kita masih berdepan dengan kes HFMD. Jadi mencegah lebih baik daripada mengubati,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.

Ng berkata ibu bapa juga membawa anak-anak melancong dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti pada cuti sekolah baru-baru ini.

Memandangkan mereka mungkin dijangkiti, memakai topeng masih memberikan perlindungan, katanya.

“Ibu bapa tidak bertanya kepada kami sama ada perlu memakai topeng pelitup muka atau tidak tetapi mereka tetap menghantar anak mereka dengan memakai topeng pelitup muka,” katanya.

Tadika juga terus melakukan pembersihan dan pemeriksaan suhu, katanya.

Presiden Persatuan Guru Besar SJKC Pulau Pinang Chew Eng Hock berkata pihaknya menyarankan 90 sekolah Cina di negeri itu untuk memaklumkan kepada pelajar untuk terus memakai topeng pelitup muka.

“Jumlah kes harian masih dalam empat digit. Jika semua orang menanggalkan topeng pelitup muka mereka, jika seseorang dijangkiti mungkin mereka menyebarkannya kepada orang lain dan menyebabkan panik,” katanya.

Chew berharap semua sekolah akan mengambil langkah yang relevan untuk menghentikan jangkitan.

“Kami berharap pelajar akan terus memakai topeng pelitup muka di dalam dan di luar rumah, apabila mereka tidak makan atau melakukan aktiviti luar,” katanya.

Chew yang merupakan pengetua SJK(C) Min Sin berkata pihak sekolah akan menempatkan pengawal keselamatan di pintu pagar bagi memastikan semua yang memasuki premis itu memakai topeng pelitup muka.

“Demi kesihatan semua kami akan meneruskan langkah ini. Kami juga akan terus mengekalkan jarak fizikal dan mengekang kesesakan,” katanya.

Pemangku presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Chuah Soo Cheng berkata beliau juga menggalakkan penggunaan topeng pelitup muka berterusan di sekolah.

“Kita tidak dapat melihat virus itu, jadi kita perlu rajin,” katanya.

Selain Covid-19 pemakaian topeng pelitup muka juga boleh mencegah penularan selsema biasa, katanya.

“Jika ibu bapa memutuskan mereka tidak mahu anak mereka memakai topeng pelitup muka, maka kami akan menghormati keputusan mereka.

“Setakat ini kebanyakan ibu bapa masih menghantar anak-anak mereka dengan topeng pelitup muka mereka.”

Pemakaian topeng di dalam bangunan dijadikan pilihan pada 7 September.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata topeng pelitup muka mesti dipakai di hospital, pengangkutan awam dan rumah penjagaan.

Khairy berkata pemilik premis masih boleh memutuskan sama ada pengunjung perlu memakai topeng atau tidak.

Walaupun mandat topeng dibatalkan menteri kesihatan masih menggalakkan penggunaan topeng pelitup muka untuk mengurangkan penyebaran virus. – 21 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen