SpaceX mahu bawa internet satelit ke Iran, kata Elon Musk 


Pemilik SpaceX Elon Musk berkata pihaknya berusaha untuk menawarkan khidmat internet kepada Iran.– Gambar EPA, 20 September, 2022.

SPACEX akan memohon pengecualian daripada sekatan AS terhadap Iran dalam usaha menawarkan perkhidmatan internet satelitnya kepada negara itu, kata pemilik Elon Musk pada hari Isnin.

“Starlink akan memohon pengecualian daripada sekatan terhadap Iran,” kata Musk sebagai respons kepada tweet seorang wartawan sains.

Musk pada mulanya mengumumkan bahawa perkhidmatan internet satelit Starlink telah disediakan di setiap benua—“termasuk Antartika”—dengan syarikat itu merancang untuk melancarkan sehingga 42,000 satelit untuk meningkatkan sambungan.

Wartawan sains kelahiran Iran, Erfan Kasraie menerusi Twitter berkata membawa perkhidmatan itu ke Iran boleh menjadi “pengubah permainan sebenar untuk masa depan” negara itu, yang mencetuskan respons Musk.

Dilancarkan pada penghujung tahun 2020, Starlink menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pelanggan di kawasan yang kurang dilayan oleh rangkaian terestrial tetap dan mudah alih melalui satelit di orbit bumi rendah.

Perkhidmatan itu mula dikenali selepas membekalkan antena dan modem kepada tentera Ukraine untuk meningkatkan keupayaan komunikasinya dalam peperangan dengan Rusia.

Starlink menjana pendapatan melalui pembelian antena, modem dan langganan dengan kadar yang berbeza mengikut negara.

Hampir 3,000 satelit Starlink telah digunakan sejak 2019 dan SpaceX sedang menjalankan kira-kira satu pelancaran seminggu, menggunakan roket Falcon 9 sendiri untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Iran dikenakan sekatan oleh AS yang diperketatkan sejak bekas presiden Donald Trump menamatkan perjanjian 2015 berhubung aktiviti nuklearnya.

Walaupun Presiden semasa Joe Biden menyokong rundingan semula perjanjian itu, desakan Iran mengenai jaminan jangka panjang dari Washington menyebabkan perbincangan itu tertangguh.

Pusingan baru sekatan dikenakan ke atas Iran bulan ini selepas sebuah syarikat yang berpangkalan di Tehran membantu menghantar dron ke Rusia, dan sebagai tindak balas kepada serangan siber besar-besaran yang menyasarkan Albania pada Julai yang didakwa dilakukan oleh kementerian perisikan Iran. – AFP, 20 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen