Annuar Musa silap tentang nilai ringgit jatuh, kata Guan Eng


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata pengerusi jihad tangani inflasi Annuar Musa "silap dan tidak jujur" apabila mendakwa kemerosotan nilai ringgit hanya bersifat sementara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2022.

KEMEROSOTAN nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini bukanlah bersifat sementara seperti dakwaan ahli Parlimen Umno Annuar Musa, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan berkata menteri komunikasi dan multimedia itu “silap dan tidak jujur” berikutan dakwaan berhubung kejatuhan nilai ringgit.

“Annuar Musa silap dan tidak jujur. Nilai semasa ringgit jatuh berbanding dolar AS bukanlah sementara kerana ringgit melemah hampir 9 peratus tahun ini berbanding RM4.17 pada hujung 2021 kepada RM4.54 iaitu paras terendah sejak 24 tahun.

“Adakah Annuar tidak akan tahu berapa banyak lagi rakyat Malaysia perlu tanggung harga ringgit yang semakin jatuh sepanjang tahun lepas dalam bentuk kos import yang lebih tinggi? Kos tambahan ini pastinya bukan bersifat sementara dan tidak boleh kembali,” katanya.

Ringgit terus melemah berbanding dolar AS sejak beberapa minggu lepas, malah mencecah paras 4.53, yang merupakan paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia.

Tambah ahli Parlimen Bagan itu, Annuar silap apabila menjangkakan penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS.

“Berbanding dolar Singapura, ringgit baru-baru ini merosot ke paras terendah RM3.26 manakala rupiah Indonesia meningkat lebih daripada 4 peratus tahun ini berbanding ringgit,” kata Lim.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga menegaskan Annuar gagal sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang didakwanya punca rakyat Malaysia menanggung faedah yang lebih tinggi.

Beliau berkata inflasi meningkat sejak Annuar menjadi pengerusi pasukan petugas itu.

“Selepas Annuar jadi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Jun, inflasi seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat daripada 3.4 peratus pada Jun kepada 4.4 peratus pada Julai manakala inflasi makanan meningkat sebanyak 6.1 peratus pada Jun kepada 6.9 peratus pada Julai.

“Kegagalan untuk membendung inflasi menyebabkan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% bulan ini,” katanya.

Lim juga menegur Annuar kerana berada dalam “alam lain” dengan tuntutan tidak berasas terhadap mata wang negara.

“Kejahilan Annuar tentang kemerosotan nilai ringgit kita sebagai sementara menunjukkan beliau tidak tahu apa yang dibuatnya.”

Sambil mengkritik Annuar, Lim turut membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang mendakwa pilihan raya umum boleh diadakan semasa musim banjir.

Beliau berkata, kedua-dua Annuar dan Zahid hidup dalam kehidupan yang terpisah dan terasing, kerana meletakkan kepentingan politik  peribadi berbanding rakyat.

“Jelas bagi Umno, mengadakan dan memenangi pilihan raya adalah lebih penting daripada menyelamatkan harta benda dan nyawa rakyat yang terjejas akibat banjir.

“Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri dan kejam, tetapi pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat untuk mengutamakan kepentingan, keselamatan dan nyawa mereka berbanding politik,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli turut membidas Zahid atas alasan yang sama, berkata gesaan pengerusi BN itu untuk mengadakan pilihan raya umum walaupun semasa banjir menunjukkan gabungan itu terpisah daripada realiti.

Selain Rafizi, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut mengkritik Zahid kerana bertegas mahukan pilihan raya waktu banjir. – 19 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen