Desak PRU15 ketika musim banjir, Zahid angkuh kata Rafizi


Ravin Palanisamy

Zahid laungkan desakan agar diadakan PRU15 tahun ini beberapa kali dalam beberapa program berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi yang melaungkan kesediaan gabungan pimpinannya itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun ketika musim tengkujuh menunjukkan terpisahnya mereka dengan realiti.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata BN seolah-olah melupakan kesengsaraan rakyat sebelum ini apabila banjir melanda.

“UMNO seolah-olah lupa kesengsaraan yang dialami rakyat sejak sedekad yang lalu akibat bencana banjir.

“Dua kejadian banjir besar di Sri Muda (tahun 2021) dan Baling (tahun ini) tidak pun terkesan kepada pimpinan UMNO apatah lagi untuk menginsafkan mereka kebajikan rakyat perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam ketika berucap pada pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Zahid menyatakan kesediaan BN meredah banjir untuk berkempen sekiranya PRU15 diadakan pada akhir tahun yang sinonim dengan musim banjir.

Menurut Rafizi kenyataan Zahid itu jauh berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang lebih fokus kepada persediaan menangani banjir oleh negeri-negeri yang ditadbirnya.

“Kenyataan Zahid itu cukup berbeza dengan nada pimpinan PH dalam temu rapat PH yang berakhir Khamis lalu (15 September 2022).

“Salah satu kandungan utama ketetapan yang dicapai dalam temu rapat tersebut ialah agar negeri-negeri yang ditadbir PH mengusahakan langkah-langkah bersepadu menangani bencana banjir yang dijangka tiba termasuklah mengisytiharkan ‘Kecemasan Bencana Iklim’ untuk mengurangkan musibah kepada rakyat.

“Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, Umno dan pimpinannya menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa,” katanya.

Beliau turut melabel desakan Zahid untuk mengadakan pilihan raya meskipun pada musim banjir itu sebagai satu keangkuhan.

Sehubungan itu Rafizi bakal melancarkan pungutan suara rakyat untuk menunjukkan kepada Zahid dan Umno hakikatnya rakyat mencemuh parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan mengadapi banjir.

“Dalam tempoh seminggu dari sekarang saya akan melancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan mereka agar kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir.

Tragedi yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti politik untuk tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar yang menimpa rakyat.

“Jika ahli politik seperti Zahid Hamidi masih tidak mengambil iktibar wajarlah Umno dan pimpinannya disekolahkan untuk mula belajar mengutamakan kebajikan rakyat,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Selain Rafizi, beberapa pemimpin lain turut menyelar Zahid termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melabel desakan Zahid agar segera diadakan PRU15 meskipun pada musim banjir sebagai ‘kerja gila’.

Menurut Presiden Muda itu Zahid dan Umno sanggup membahayakan nyawa rakyat demi kuasa.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut membidas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan menyifatkannya sebagai pentingkan diri dan tidak tahu malu kerana mahukan pilhan raya segera walaupun ketika musim banjir.

Zahid dalam beberapa program berbeza sebelum ini mendesak agar PRU15 diadakan pada tahun ini. – 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen