Desak PRU15 segera tiada kaitan kes mahkamah, kata Zahid Hamidi


Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembangkang sedang mencipta naratif memburuk-burukkan pemimpin BN, sama seperti semasa PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2022.

BARISAN Nasional (BN) mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan bukan untuk mengelak kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpinnya, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Pilihan raya itu didesak segera kerana pihak pembangkang sedang giat mencipta naratif yang mengelirukan rakyat, katanya.

“Kita minta PRU15 disegerakan bukan kerana kita takut. Sama sekali tidak berkaitan kes mahkamah yang dikenakan terhadap pemimpin BN.

“Saksikan tindakan mahkamah dikenakan ke atas pemimpin BN selepas mereka berkuasa kami harungi dengan tabah. Beranilah kerana benar.

“Kita minta PRU15 diadakan segera kerana kita tahu apa yang sedang diusahakan oleh lawan untuk memanipulasi fikiran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi melalui hantaran di Instagram dan Telegram.

Beliau mendakwa pembangkang sedang mencipta naratif memburuk-burukkan pemimpin BN, sama seperti semasa PRU14.

Mereka juga, katanya, terdesak menggunakan saki-baki “kuasa” yang ada untuk melancarkan propaganda baharu.

Presiden Umno itu bagaimanapun tidak menyebut apa yang didakwanya sebagai manipulasi dan hasutan pembangkang.

Zahid adalah antara pemimpin BN yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Beliau berdepan keseluruhan 87 pertuduhan melibatkan jenayah melibatkan dua kes iaitu dana milik Yayasan Akalbudi dan perolehan sistem visa luar negara semasa jadi menteri dalam negeri.

Kes-kes itu melibatkan jenayah pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram.

Menurut Zahid, BN mahu pilihan raya segera supaya ia boleh mendapatkan mandat rakyat membentuk kerajaan dan seterusnya menyelamatkan mereka daripada pembangkang.

Katanya, BN mahu menghentikan semua kegagalan yang berlaku sejak perubahan politik PRU14 pada Mei 2018.

“Kita perlu menghentikannya demi kemaslahatan Malaysia. PRU15 bukan semata-mata tentang BN, tetapi ia adalah demi rakyat dan negara.

“Kenyataan ini bukan retorik, sebaliknya ia adalah kaedah paling berkesan dan berperlembagaan untuk memulihkan negara dan kehidupan masyarakat,” katanya.

Mandat Parlimen sekarang berjalan sehingga pertengahan Julai 2023. – 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen