Bencana politik Ismail Sabri dan BN


Fakhrurrazi Rashid

KENYATAAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi rawatan terbaik buat Najib Razak kerana masalah kesihatan di penjara telah menimbulkan kekeliruan dan reaksi negatif daripada orang awam.  

Ironinya, nada Ismail Sabri amat berbeza dengan pendirian Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang agak keras dan tegas dalam soal rawatan kesihatan Najib. 

Rakyat mula bertanya, apakah keperluan Ismail Sabri masuk campur dalam urusan Najib? 

Bukankah tindakan ini hanya memberi mesej bercelaru kepada rakyat seolah-olah perdana menteri mempunyai konflik berkepentingan dengan seorang banduan. 

Jadi, apa sebenarnya perdana menteri ingin lakukan? 

Dalam kira-kira politik, simpati ditonjolkan Ismail Sabri ini hanyalah langkah populis untuk menarik sokongan dan simpati penyokong Najib yang selama ini kritikal terhadap dirinya.

Dia mahu ahli dan pemimpin Umno melihatnya sebagai presiden, bukan sekadar ‘poster boy’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Kegilaan populis Ismail Sabri lebih terserlah apabila dia sendiri dilapor mempertimbang mahu membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini. Sedangkan, beliau bukanlah menteri kewangan. 

Ini juga satu percaturan populis Ismail Sabri untuk memukau hati rakyat kononnya dia pemimpin prihatin rakyat menjelang PRU15.

Nampaknya, Ismail Sabri begitu ghairah mahu mengumumkan PRU15. Sehinggakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sanggup berkata “kalau perdana menteri bubar Parlimen masa banjir, Barisan Nasional (BN) sanggup redah”, dan dia turut memberi jaminan Ismail Sabri akan kekal sebagai perdana menteri selepas PRU15. 

Tetapi sayang, Ismail Sabri, jemaah menteri dan partinya tidak mempunyai kegairahan membantu rakyat yang tersepit dengan masalah ekonomi dan kegelisahan berhadapan dengan bencana banjir. 

Dalam erti kata lain, kerajaan Ismail Sabri sedang mencipta bencana politik yang lebih membebankan rakyat.

Bencana politik 

Kerakusan BN dan Ismail Sabri hari ini hanya menonjolkan sisi gelap sebuah parti pemerintah yang meminggirkan aspek kemanusiaan terhadap kesejahteraan rakyat. 

Pandangan populis perdana menteri dan BN ini telah mensia-siakan tenaga pakar dan data berasaskan sains yang sedaya upaya mahu kerajaan lebih bersiap sedia mengambil langkah drastik untuk mengatasi bencana banjir. 

Dari sudut yang berbeza, isu ini bukan sekadar PRU15, tetapi ia menonjolkan bagaimana kerajaan yang lemah boleh membawa bencana politik kepada rakyat dan negara. 

Setiap cabaran dan masalah dihadapi rakyat tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan Ismail Sabri, khususnya dalam aspek pemulihan ekonomi.

Lihat sahaja ulasan tempang menteri kewangan dari Umno Tengku Zafrul Aziz tanpa segan silu mengatakan “kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara”, membuktikan kerajaan Ismail Sabri tidak berpijak di bumi yang nyata. 

Kenaikan harga barang masih belum selesai. Kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam kian hari kian menjadi-jadi. Dan, politik perkauman dan benci-membenci kian berlarutan di bawah kerajaan yang dipelopori oleh BN dan Perikatan Nasional (PN) sekarang. 

Kegopohan inilah yang yang akan menghakis  kepercayaan dan menjarakkan rakyat daripada institusi politik yang sepatutnya mendatangkan kebaikan buat mereka. 

Ironinya, dalam prestasi kerajaan dan ekonomi yang begitu lemah, apakah kewajaran Ismail Sabri dan BN berhasrat mengadakan PRU15 dalam musim banjir?  

Bukan tiada pilihan

Cerita membuat pilihan raya pada musim banjir ini bukanlah perkara baharu. Pada penghujung 2017, ada khabar angin mengatakan Najib akan mengadakan PRU14 pada November, iaitu sewaktu musim banjir. 

Meskipun tarikh luput Parlimen ke-13 berakhir pada Ogos 2018, BN mahu mengadakan PRU14 dengan kadar segera atas penerimaan positif rakyat ke atas  Belanjawan 2018 dan perpecahan pembangkang. 

Menurut Mustapa Mohamed, salah seorang menteri kerajaan Najib ketika itu, PRU14 mustahil diadakan dalam tempoh tersebut kerana Kedah, Perak, dan Pulau Pinang sudah mengalami banjir. 

Dia turut menyatakan banjir menyukarkan pergerakan pengundi untuk keluar atau peluang mengundi. Malah, parti yang menang pilihan raya dengan peratusan keluar mengundi sekadar 50 peratus akan membentuk kerajaan yang tidak mempunyai mandat kukuh.  

Sekurang-kurangnya, Ismail Sabri dan BN merujuk kes ini sebagai teladan untuk buat keputusan lebih baik demi keselamatan rakyat dalam tempoh yang penting ini. 

Bayangkan sahaja, sekolah yang menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa turut dijadikan pusat mengundi jika PRU15 dijalankan serentak pada musim  banjir.
 
Logistik dan jentera kerajaan akan dikerahkan secara besar-besaran dari aspek sumber manusia dan kewangan. Bukankah ini sesuatu yang merumitkan? 

Namun, apa yang kita saksikan, Ismail Sabri dan BN masih berkeras untuk adakan PRU15 dalam waktu terdekat. Mengapa?

Mengatasi bencana politik

Lebih rendah peratusan keluar mengundi, lebih cerah BN menang PRU15. Teori ini sudah terbukti laku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka apabila kadar keluar rendah mampu menyumbang lebih banyak kerusi buat BN. 

Kedua-dua PRN Melaka dan Johor dijalankan ketika musim hujan lebat dan bencana banjir masih berlaku di beberapa kawasan. Hujah ini mungkin menjadi ramuan buat pemimpin BN dan Ismail Sabri untuk menang PRU15 dan melihat banjir bukanlah satu masalah besar.

Suka atau tidak, Ismail Sabri akan dikenang sebagai perdana menteri ‘populis kosong’ apabila Parlimen dibubarkan kerana tidak membawa sebarang dasar besar yang mampu memulihkan kehidupan rakyat. 

Dia juga akan diingati rakyat sebagai perdana menteri yang ‘tewas’ sepanjang masa baik dari segi politik dan ekonomi. Integritinya akan terjejas teruk jika dia terus tunduk kepada kluster mahkamah untuk mengadakan PRU15 ketika rakyat gelisah akan bencana banjir.

Tetapi, lebih buruk lagi jika pengundi terus kecewa, berdiam diri, dan tidak keluar mengundi untuk menghentikan bencana politik dipelopori Ismail Sabri dan BN. 

Sebab itu, keluar mengundi pada PRU15 bukan lagi sekadar pilihan. Tetapi ia adalah satu tindakan politik dan kuasa rakyat untuk memilih kerajaan yang bertanggungjawab dan memastikan bencana politik tidak akan berulang kepada generasi akan datang. – 19 September, 2022.     

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen