Pendaki warga Singapura ditemukan selamat


Warga Singapura yang ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi semalam. – Gambar Facebook, 18 September, 2022.

LELAKI warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi semalam, ditemukan selamat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam selepas mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira jam 2.20 petang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 2.22 petang memaklumkan menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi–Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15).

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan Response Team digerakkan ke lokasi penemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, dimulakan jam 10 pagi tadi, membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

Sementara itu, Hussin berkata, mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapat kebenaran dan memohon permit bagi memasuki kawasan hutan simpanan kekal.

Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan hutan simpan supaya mendapatkan permit terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi, mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada balai polis berdekatan bagi mengelak kejadian sebegitu berulang lagi.

Dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira jam 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan. – Bernama, 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen