Gagal bayar ganti rugi, Teresa fail notis bankrap terhadap Jamal


Teresa dedahkan masih belum terima ganti rugi walau satu sen daripada Jamal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

AHLI Parlimen DAP Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal Yunos selepas Ketua Umno Sungai Besar itu gagal membayar ganti rugi saman fitnah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tingi Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata notis itu difailkan melalui peguamnya SN Nair dan Jaden Phoon susulan pemimpin Umno itu masih belum membayar walau satu sen pun sehingga hari ini.

Beliau berkata, peguamnya SN Nair dan Jaden Phoon memfailkan notis itu memandangkan Jamal masih gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 26 Julai lalu.

“Sampai hari ini saya tidak menerima sebarang ganti rugi dan kos daripada Jamal.

“Jumlah keseluruhan termasuk faedah penghakiman daripada 26 Julai hingga 30 Ogos 2022 adalah RM 351,479.45,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Julai lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa selepas pemimpin DAP itu menang saman fitnah.

Kok memfailkan saman itu pada 6 April 2017 mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas di bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas.

Awal hari ini Jamal dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas rebah pada sebuah program di Sungai Besar malam tadi.

Menurut laporan media, anak Jamal, Amin Daniel memberitahu bapanya kini sedang dipantau rapi oleh doktor pakar di sebuah hospital swasta. – 18 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen