Bekas pegawai tinggi kerajaan rayu warga Pekan jadi ‘perisai manusia’ Dr Mahathir


Amin Iskandar

Bekas perdana menteri yang kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berdepan ugutan berikutan program bertemu rakyat yang akan diadakan di Pekan dan dijangka berakhir di Felda Chini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018.

SEORANG bekas pegawai tinggi kerajaan merayu kepada warga Pekan, Pahang agar melindungi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad esok, tidak berapa lama selepas Umno memberikan ugutan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Perancangan, Kementerian Pengangkutan Abdul Rahman Mohd Noor berkata, seperti yang sudah dijangka, Umno dan “samseng-samsengnya” sudah pun digerakkan untuk memulakan intimidasi.

“Kepada warga Pekan /Chini, saya merayu agar kita turut bersama-sama berperanan dalam pesta demokrasi yang sihat lagi membina. Keluarlah beramai-ramai untuk menyambut negarawan terulung di rantau ini.

“Lindungilah ‘mutiara’ luar biasa ini dan jika perlu, jadilah ‘perisai manusia’ (human shields) kepada Dr Mahathir sungguh pun akan berhadapan dengan bahaya,” kata anak kelahiran Pekan, Pahang itu kepada The Malaysian Insight.

Sebelum ini, Abdul Rahman merupakan ketua Bersatu Bahagian Pekan akan tetapi melepaskan jawatannya kerana masalah kesihatan.

Semalam The Malaysian Inisight melaporkan Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri akan berkempen di Pekan, kerusi Parlimen Perdana Menteri Najib Razak esok. 

Program sehari Dr Mahathir di Pekan itu akan berakhir dengan ceramah di Felda Chini 2.

Disebabkan itu, Umno Pekan memberi amaran agar program itu dibatalkan supaya kekacauan tidak berlaku.

“Saya fikir lebih baik sekiranya program itu dapat dibatalkan, ada masalah, akan ada pergaduhan,” kata ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan Abdul Rahim Yahya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dijadual akan mengadakan program sehari di Pekan, Pahang yang dijangka akan berakhir dengan ceramah di Felda Chini 2.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018.

Dr Mahathir berkata hari ini, amaran Umno Pekan itu merupakan pengakuan anggota parti Melayu itu mahu membuat kecoh esok.

Abdul Rahman berkata, politik “samseng”, perkauman dan keagamaan yang ekstrem sudah berlalu dan tidak relevan lagi di Malaysia.

“Tunjukkanlah kepada dunia yang demokrasi bertamadun masih subur di negara tercinta ini.

“Amat sukar untuk kita ketemukan insan seperti Dr Mahathir pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Rahman turut merayu kepada pasukan keselamatan agar menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan keselamatan Dr Mahathir dan orang ramai yang menghadiri programnya esok.

“Kepada rakan dalam pasukan keselamatan, termasuk mantan yang berada di kawasan lawatan Dr Mahathir, keluarlah beramai-ramai untuk memberi kehormatan tertinggi kepada beliau,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, Najib dan isterinya Rosmah Mansor perlu bertanggungjawab sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Dr Mahathir.

“Kepada Najib dan Rosmah, janganlah fikir kalian berdua boleh melepas tangan. Kamu berdua memang sudah tersepit dan tiada jalan keluar lagi.

“Kalian berdua tetap akan dipersalahkan jika sesuatu yang tidak diingini dilakukan kepada Dr Mahathir. Kepada Allah juga kita berserah,” katanya.

PH Pahang turut menyelar Umno Pekan atas amaran yang diberikan mengatakan Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan sebagai warganegara, Dr Mahathir bebas bergerak ke mana sahaja.

Pengerusi PH Pahang Fauzi Abdul Rahman berkata ugutan Umno Pekan agar Dr Mahathir membatalkan programnya esok di kawasan Parlimen Perdana Menteri Najib Razak menunjukkan mereka sebagai “tidak matang”.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Pahang Wan Mohamad Shahrir Wan Abdul Jalil berkata penganjur sudah pun mendapatkan permit polis untuk menganjurkan program tersebut.– 27 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jibby, roguish PM, a mental nut case don't you fellas see?
    A narcissist, with NPD faking conscience, has no empathy,
    Ooh what a master of histrionics, as cool as cucumber he be,
    Grave foreboding, psychos with NPD has no ounce of sympathy!

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Arun Paul · Ulasan

  • Police should act on those Umno goons for open criminal intimidation with the intention to disturb peace and causing hurt, I'm sure there's plenty in the penal code

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Kuasa Rakyat · Ulasan