Selepas Najib lawat Langkawi, Dr Mahathir ke Pekan


Kamles Kumar

Dr Mahathir ketika bertemu penyokongnya di Sg Petai, Melaka semalam. Beliau akan berkempen di Pekan, Pahang, iaitu kawasan parlimen Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

DR Mahathir Mohamad akan berkempen di Pekan, Pahang Rabu ini, yang dilihat sebagai langkah untuk menentang anak didik yang kini jadi musuhnya, Perdana Menteri Najib Razak.

Kedatangan Dr Mahathir ke kawasan Parlimen Najib itu juga menandakan Bersatu akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bersatu merupakan satu daripada empat parti dalam Pakatan Harapan (PH). Dr Mahathir telah dinamakan sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang itu.

Lawatan Dr Mahathir itu akan berlaku seminggu selepas Najib melawat Langkawi, Kedah, kawasan yang turut berada dalam senarai dikatakan bakal ditandingi Dr Mahathir pada PRU14. 

Dalam lawatan Najib ke Langkawi, beliau telah mengumumkan projek infrastruktur bernilai RM1.3 bilion dan memberitahu penduduk yang Dr Mahathir tidak akan dapat berkhidmat dengan baik untuk mereka.

Minggu ini, Dr Mahathir merancang untuk mengurangkan sokongan terhadap Najib di kawasan luar bandar Pekan. Menurut sumber, pemimpin berusia 92 tahun itu dijadualkan akan membuat lawatan ke Felda Chini dan komuniti Orang Asli.

Dr Mahathir dijangka akan menyentuh isu kontroversi Felda dengan harapan menarik pengundi dan membuatkan mereka tidak mengundi Najib.

Namun, walaupun Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh di kalangan pengundi luar bandar Melayu, sumber mengatakan beliau menghadapi cabaran berdepan pengundi di Pekan, yang setia menyokong Najib dan Barisan Nasional (BN).

Malah, Dr Mahathir juga tidak akan dapat berucap dalam ceramah di Pahang kerana tidak diberikan kebenaran.

“Mereka tak akan benarkan beliau adakan acara di sini. Ada banyak halangan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight mengenai lawatan itu.

“Buat masa ini, beliau hanya akan bertemu orang ramai dan bercakap dengan mereka (tanpa majlis rasmi),” kata sumber itu lagi.

Cubaan awal pembangkang bagi lawatan mengejut di Pahang, khasnya di Pekan menemui kegagalan.

Najib mewarisi kerusi Pekan selepas kematian bapanya, Abdul Razak pada 1976 dan terus berkuasa di situ sehingga sekarang.

Kerusi itu secara tradisinya ditandingi PAS tetapi telah diambil alih PKR yang meletakkan Fariz Musa pada Pilihan Raya Umum ke-13. Fariz tewas kepada Najib dengan beza 51,278 undi. 

Minggu lepas Najib juga telah melawat Pekan dan memperuntukkan RM564 juta untuk program tebatan banjir.

PH dan Bersatu masih belum mengumumkan calon bagi kawasan Pekan. – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • udah2 laa tu tun m pon. berehat laaa. dah berumur dah pon. xpayah nk penat2. bagi generasi muda yang mentadbir pulak.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan