MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz tidak akan memohon maaf pada Robert Kuok atas kenyataannya meskipun pejabat taikun itu menafikan membiaya DAP untuk mengguling Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Nazri, kenyataannya itu adalah berdasarkan tuduhan dalam blog Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today.
Beliau berkata Kuok tidak menafikan dakwaan dalam blog tersebut.
“Saya tak akan minta maaf. Kenyataan saya berdasarkan tuduhan yang dibuat oleh Raja Petra yang tidak dinafikan (oleh Kuok),” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata tindakan Kuok menafikan tuduhan itu bagus, namun ia sepatutnya dilakukan lebih awal.
“Keadaannya tidak akan jadi seperti ini kalau dia nafikan lebih awal,” kata Nazri.
“Saya sambut baik dan saya nak beritahu dia yang semua kenyataan sebelum ini adalah berdasarkan laporan yang tidak dinafikan,” katanya.
Nazri juga menggesa supaya Kuok mengambil tindakan undang-undang terhadap Raja Petra untuk membersihkan namanya.
“Nafikan saja tak cukup,” kata Nazri.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya semalam, Kuok menafikan beliau membiaya DAP untuk mengguling kerajaan seperti yang dikatakan oleh Raja Petra dan akan mempertimbangkan untuk menyaman blogger itu.
Susulan tuduhan itu, beberapa pemimpin Umno termasuk Najib telah membuat komen terhadap Kuok.
Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman dikatakan memberitahu Kuok supaya “tidak lupa daratan”, manakala Najib pula berkata Kuok tidak mungkin mengumpul harta kekayaannya tanpa bantuan kerajaan Malaysia.
Kenyataan paling kasar dikeluarkan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz yang menggelarkan Kuok sebagai “pondan” dan mencabarnya supaya kembali ke Malaysia untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi biro keharmonian agama MCA Ti Lian Ker menyelar Nazri dengan berkata serangan seperti itu bukan budaya Malaysia dan Kuok adalah ahli perniagaan berjaya yang telah memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia secara umum.
Pejabat Kuok dalam satu kenyataan semalam berkata Raja Petra telah membuat tuduhan tidak berasas dalam tiga artikel yang diterbitkan antara 21 dan 23 Februari.
Kuok kaya menerusi perniagaan import gula ke Malaysia dan mengubah perniagaan itu menjadi sebuah empayar yang berpangkalan di Hong Kong merangkumi komoditi dan hotel. – 27 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan