Industri pembinaan, hartanah mahu Putrajaya sediakan projek dalam Bajet 2023


Khoo Gek San Angie Tan

Kerajaan menerusi Bajet 2023 diharap sediakan peruntukan bagi pelaksanaan projek infrastruktur untuk membantu pemulihan industri pembinaan dan hartanah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

INDUSTRI pembinaan dan hartanah berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini, akan menyediakan sesuatu untuk membolehkan mereka keluar daripada keadaan sekarang.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Wee Hiang Chyn berkata bajet kali ini diharap ada peruntukan untuk melaksanakan lebih banyak projek infrastruktur, atau meneruskan projek tertangguh, bagi memberi sedikit kelegaan kepada syarikat pembinaan.

“Bajet tahun depan perlu lebih peruntukan untuk projek infrastruktur kerana bajet tahun ini tidak cukup untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

“Projek infrastruktur yang lebih banyak akan membolehkan industri ini kembali pulih. Jika masih tidak ada peruntukan untuk projek baharu, saya bimbang industri ini akan terus bergelut untuk bertahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata selain projek Transit Aliran Massa (MRT3) di Kuala Lumpur yang pada masa ini ditangguhkan sementara, tidak ada projek besar lain yang akan dilaksanakan.

“Masalahnya tidak ada siapa tahu bila MRT3 akan dilaksanakan,” kata Wee.

“Jadi bagaimana kontraktor dapat bertahan apabila kerajaan membekukan pelaksanaan projek infrastruktru besar ketika ekonomi juga sedang bergelut?”

Wee berkata industri pembinaan adalah sektor utama ekonomi, maka kerajaan sepatutnya memastikan lebih banyak projek perlu dilakukan untuk memulihkan industri itu.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyediakan lebih banyak subsidi dan insentif kepada industri pembinaan bagi membantu kami kurangkan penggantungan kepada pekerja warga asing.”

Ramalan ekonomi Kementerian Kewangan untuk 2022 melaporkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi sektor pembinaan dijangka tumbuh 11.5%.

Sebaliknya, Wee berkata sektor itu mengalami penguncupan 12.2% pada suku pertama tahun ini dan 7% pada suku kedua.

Sehubungan itu katanya perlu ada peningkatan perbelajaan dalam projek awam.

Wee berkata beliau berharap bajet kali ini akan memberikan subsidi dan pengecualian cukai sementara bagi membolehkan mereka membeli jentera dan peralatan pembinaan baharu untuk mempromosikan penjenteraan dan automasi dalam sektor itu.

Proses lambat dalam mendapatkan pekerja warga asing tidak dapat membantu industri itu untuk pulih dengan cepat, katanya.

“Perlu ada cara efektif untuk memudahkan proses mengambil pekerja warga asing,” katanya, dan mencadangkan “laluan hijau” dalam proses mendapatkan pekerja.

Beliau berkata memandangkan industri itu bergantung kepada pekerja warga asing, bajet juga perlu ada insentif dan bantuan kewangan untuk industri melalui proses penjenteraan sendiri.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kami terhadap tenaga kerja yang besar,” katanya. – 15 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen