Mosti tidak kecualikan syarikat pemula daripada bantuan, biaya


Adham Baba berkata bantuan dan pembiayaan kepada syarikat pemula diberi bagi mengelakkan penghijrahan syarikat itu ke luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2022.

KEMENTERIAN Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) tidak akan mengecualikan mana-mana syarikat pemula berteknologi tinggi tempatan yang berpotensi, untuk menjadi “Unicorn” bagi mendapatkan bantuan dan pembiayaan.

Menteri berkenaan Adham Baba hari ini menyatakan pendirian kementeriannya itu, bagi mengelakkan penghijrahan syarikat pemula ke luar negara yang boleh memberikan impak kurang baik kepada persekitaran ekonomi tempatan.

Startup (pemula) ini, walaupun kecil tapi ia berupaya sebenarnya untuk menjadi scaleable dengan pantas, untuk itu saya telah pun membuat pendirian dan arahan kepada Mosti supaya tidak mengecualikan mana-mana syarikat startup daripada sektor-sektor berteknologi tinggi ini, untuk dibiayai atau dibantu sehingga mereka mendapat beberapa siri pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran KL Venture Finance Forum (KLVF) 2022 dan sambutan ulang tahun ke-20 Malaysia Debt Ventures (MDV) Berhad.

Adham berkata pihaknya juga sedang merangka satu pelan hala tuju Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I) bertujuan untuk menarik ‘Venture Capital’ (VC) antarabangsa bagi mengukuhkan lagi ekosistem pembiayaan syarikat pemula dalam negara.  

“Keperluan untuk menjemput ‘venture capital’ ke dalam negara kita adalah perlu, supaya VC antarabangsa berada dalam negara kita dan terus memberi sokongan kepada syarikat ini (syarikat pemula). 

“Ini adalah supaya mereka (syarikat pemula) menjadi syarikat yang besar dalam negara kita sendiri, sebelum (bagi mengelakkan) mereka berhijrah ke negara lain kerana ada peluang yang lebih baik di sana,” katanya. – Bernama, 12 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen