Mosti tawar 27 penyelesaian teknologi atasi isu sekuriti makanan


Mosti berkata penyelesaian teknologi itu terbahagi kepada beberapa kluster antaranya biji benih, biobaja dan baja penggalak serta akuakultur serta makanan ternakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2022.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mempunyai 27 penyelesaian teknologi yang sedia diguna pakai secara meluas bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan untuk penyelesaian jangka masa pendek.

Mosti dalam satu kenyataan hari ini berkata penyelesaian teknologi itu terbahagi kepada beberapa kluster iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan aplikasi Internet benda (IoT), akuakultur serta makanan ternakan.

“Kesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang dibiayai oleh kerajaan,” kata Mosti.

Antara penyelesaian teknologi yang boleh diketengahkan adalah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak, akuaponik yang digandingkan bersama aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.

Penggunaan teknologi itu boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran, katanya.

Mosti berkata teknologi Internet benda (IoT) dan blok rantai akan turut digembleng bersama lain-lain penyelesaian teknologi bagi merancakkan industri agro.

Penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman dan teknologi itu berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja berikutan bekalan bahan terhad ekoran krisis dunia, katanya.

Menerusi Agensi Nuklear Malaysia, Mosti berkata kajian dan data di lapangan juga telah memperlihatkan keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja sehingga 50 peratus dan meningkatkan hasil sehingga lapan peratus.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada baja dan subsidi baja juga dapat dikurangkan secara berperingkat,” kata Mosti.

Mosti berkata produk serta teknologi yang telah dikenal pasti akan dibincangkan secara berterusan dan terperinci bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi memastikan teknologi yang diperkenalkan sesuai dilaksanakan berdasarkan lokaliti dan keperluan sesuatu sektor.

“Mosti yakin bahawa teknologi yang diketengahkan mampu memberi impak yang berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos yang berpatutan serta pengurangan kepada kebergantungan penuh kepada buruh asing,” kata kementerian itu. – Bernama, 28 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen