Pelancongan, pengendali F&B berharap lebih banyak subsidi dalam Bajet 2023


Khoo Gek San Angie Tan

Sektor pelancongan yang terjejas akibat wabak yang melanda berharap agar pelepasan cukai, kos perjalanan lebih rendah dan bantuan strategik diberikan kepada sektor itu dalam Bajet 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2022.

PENGENDALI pelancongan berharap agar pelepasan cukai, kos perjalanan lebih rendah dan bantuan strategik diberikan kepada sektor itu dalam Bajet 2023 bagi membantu meningkatkan industri.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) Uzaidi Udanis berkata pengusaha perlu mengeluarkan banyak wang bagi mempromosikan pelancongan domestik di peringkat antarabangsa.

“Geran pemasaran khas untuk aktiviti pemasaran domestik dan antarabangsa dicadangkan untuk pameran perdagangan perniagaan-ke-perniagaan dan perniagaan-ke-pengguna,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengusaha bas pelancongan juga tidak dapat memperbaharui cukai jalan mereka kerana sektor itu masih dalam proses pulih daripada kesan wabak itu.

“Sangat kurang lawatan berkumpulan yang menyewa bas 40 tempat duduk, kebanyakannya masih belum diperbaharui cukai jalan mereka.

“Insentif penukaran harus diberikan kepada bas pelancongan biasa untuk ditukar menjadi kenderaan rekreasi atau mewah,” katanya.

Uzaidi turut menggesa Putrajaya menyediakan lebih banyak penerbangan sewa dari negara yang mempunyai permintaan tinggi.

“Sebuah bank pelancongan boleh ditubuhkan bagi membantu mengembangkan indutri yang bukan sahaja melibatkan penyediaan hotel dan chalet untuk pelancong malah terdapat potensi dalam bidang perubatan, pertanian, pelancongan belia dan pendidikan,” katanya. 

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw berkata walaupun aktiviti pelancongan sedang berjalan banyak penambahbaikan perlu dilaksanakan.

“Hotel masih belum dibuka 100% dan terdapat kekurangan kakitangan juga,” kata Paw.

Beliau berharap kerajaan meneruskan pemberian subsidi kepada pengusaha dengan mengetepikan bayaran pembaharuan lesen pemandu pelancong dan lesen bas.

Kerajaan juga harus mencari jalan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara dengan mengambil bahagian dalam pameran, katanya.

“Kami berharap kerajaan akan membantu kami dalam menggalakkan beliau menyertai industri ini,” katanya.

F&B terkesan dengan kejatuhan nilai ringgit

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim berkata kedai makan berharap kerajaan tidak menaikkan cukai import dalam bajet kerana ia akan menaikkan kos menjalankan perniagaan.

“Jika kami tidak lagi mampu menanggung kos kami perlu memberikannya kepada pelanggan.

“Kami berharap cukai itu tidak akan diselaraskan dalam dua atau tiga tahun akan datang supaya kami secara kolektif dapat menarik nafas lega,” katanya. 

Industri yang sudah lama terkesan disebabkan kekurangan tenaga kerja juga berdepan pengurangan waktu kerja yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, kata Lim.

“Peraturan ini pasti akan memberi kesan kepada kami, kami harap mereka mempertimbangkan semula,” katanya.

Waktu kerja yang dikurangkan itu akan berkuat kuasa pada 1 September tetapi kini ditangguhkan kepada 1 Januari 2021.

Ini berikutan pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 yang bertujuan bagi menjaga kebajikan pekerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Pindaan itu juga membenarkan pekerja bekerja dengan waktu yang fleksibel di mana mereka boleh memilih lokasi, masa dan hari bekerja.

Ini termasuk fleksibiliti untuk bekerja dari rumah semasa kecemasan seperti pandemik Covid-19. – 11 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen