Pasaran hartanah dijangka bertambah baik, kata Rehda


Raevathi Supramaniam

Walaupun berlaku inflasi dan kenaikan kos sara hidup, pasaran hartanah dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2022.

PASARAN hartanah dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2022 walaupun berlaku inflasi dan kenaikan kos sara hidup, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Presidennya NK Tong berkata berikutan pasca wabak dan kepastian yang lebih baik dalam pasaran serta ekonomi orang ramai sanggup melabur dalam hartanah untuk jangka panjang.

“Dengan pembukaan ekonomi selepas pandemik, prospek pasaran hartanah terus bertambah baik.

“Dalam Tinjauan Industri Hartanah Rehda setengah tahun sebelumnya (separuh kedua) 2021 dan Tinjauan Pasaran untuk 2022, ahli optimis mengenai tinjauan separuh pertama 2022 malah lebih optimis untuk separuh kedua 2022,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tong berkata tabiat berbelanja orang ramai ketika makan di luar, pusat membeli-belah yang sibuk dan perjalanan ke luar negara adalah bukti kuasa berbelanja mereka.

“Hartanah adalah komitmen yang lebih besar supaya keyakinan untuk berbelanja mungkin ditangguh seketika.

“Oleh itu keyakinan yang kita lihat sekarang mungkin akan lebih dapat dilihat dalam penjualan hartanah menjelang separuh kedua 2022 dan seterusnya,” katanya.

Berkenaan dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di pasaran hartanah, walaupun ia mungkin menjejaskan pembelian pengguna dalam jangka pendek, ia akan dibimbangi oleh pembukaan ekonomi dalam jangka panjang, kata Tong.

“Ramai yang menyedari tekanan inflasi yang kelihatan seperti menjadi trend berterusan sekurang-kurangnya untuk jangka sederhana.

“Orang ramai menyedari hartanah adalah cara yang baik untuk melindungi nilai atau terus mendahului tekanan inflasi ini.

“Oleh itu prospek kekal positif berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Semalam Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.50%.

Ini adalah kenaikan kadar ketiga berturut-turut bank pusat itu.

Ia menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75% pada Mei. Pada Julai ia meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25%.

BNM dalam satu kenyataan berkata walaupun keadaan rantaian bekalan global terus berkurangan, tekanan inflasi kekal tinggi berikutan kenaikan harga komoditi dan pasaran buruh yang ketat.

Bank pusat itu berkata inflasi utama berpurata pada 2.8% tahun setakat ini dan tahap tekanan menaik terhadap inflasi akan kekal sebahagiannya dikawal oleh kawalan harga sedia ada, subsidi bahan api dan kapasiti ganti semasa dalam ekonomi. – 9 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen