Raja Salman pecat ketua tentera, mulakan reformasi pertahanan Arab Saudi


Titah diraja dikeluarkan lewat malam tadi mengumumkan pemecatan ketua kakitangan negara, komander tentera darat dan laut, serta pegawai-pegawai kanan kementerian dalam negeri. – Gambar AFP, 27 Februari, 2018.

RAJA Arab Saudi, Raja Salman memecat ketua kakitangan negara dan beberapa komander utama tentera, lapor media negara itu semalam, satu tindakan yang menggoncangkan ketenteraan negara itu.

Raja itu juga memecat dan menggantikan ketua tentera darat dan udara serta pegawai kanan kementerian dalam negeri, dalam siri titah diraja yang dikeluarkan lewat malam semalam.

Tiada sebab rasmi diberikan untuk perubahan menyeluruh itu, tetapi ia berlaku ketika campur tangan pakatan tentera diketuai Arab Saudi di Yaman menentang pemberontak Huthi yang disokong Iran bakal memasuki hujung tahun ketiga.

“Pembatalan perkhidmatan Jeneral Abdul Rahman bin Saleh al-Bunyan, Ketua Kakitangan,” kata Agensi Media Saudi (SPA) mengatakan yang juga menambah Fayyad al-Ruwaili dilantik sebagai pengantinya.

Pemecatan Al-Bunyan berlaku selepas dia merasmikan pameran pertahanan utama minggu ini oleh Industri Tentera Arab Saudi (Sami), syarikat tentera milik negara yang menggambarkan usaha berterusan negara itu untuk melakukan perubahan sektor tentera.

“Titah diraja Saudi kelihatan sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan negara,” kata Theodore Karasik, penasihat kanan perunding Gulf States Analytics kepada AFP.

“Transformasi ketenteraan sedang berlaku di Arab Saudi. Perubahan ini bermula dengan pameran Sami yang sangat kritikal dalam pelan perubahan Putera Mohammed untuk membentuk program pertahanan yang menyeluruh.”

Putera Mahkhota Mohammed bin Salman, pewaris takhta negara itu juga adalah menteri pertahanan dan semakin mengukuhkan kuasanya sejak beberapa bulan lalu.

Perubahan in berlaku ketika konflik di Yaman semakin buruk.

Pakatan tentera diketuai Arab Saudi menyokong kerajaan Yaman sudah bertempur dengan pemberontak Huthi sejak 2015 dalam konflik dianggap PBB krisis kemanusiaan terburuk.

Lebih daripada 9,200 orang sudah terbunuh dan hampir 2,200 pula mati kerana wabak taun dalam situasi yang semakin buruk di Yaman, menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).

Selain pemecatan itu, beberapa pelantikan juga diumumkan titah diraja itu.

Seorang wanita Saudi, Tamadar Bint Yousef al-Ramah dilantik sebagai timbalan menteri buruh dan pembangunan sosial.

Dan Putera Turki bin Talal, adik kepada hartawan Putera Al-Waleed bin Talal dilantik sebagai timbalan gabenor Assir.

Putera Al-Waleed yang dianggap Warren Buffett Arab Saudi adalah antara putera raja, menteri dan taikun perniagaan yang ditahan di Hotel Ritz-Carlton dalam tindakan menghapuskan korupsi dilakukan kerajaan ke atas kumpulan elit negara itu.

Hotel itu kembali dibuka untuk perniagaan pada 11 Februari, lebih tiga bulan selepas dijadikan penjara mewah untuk elit negara itu. – AFP, 27 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Baik sekali kalau raja sanggup memeluk peluk komeinei demi keamanan dan kemakmuran Timur Tengah dan dunia untuk selama lamanya.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan