PAS perlu berubah jika berhasrat kerusi perdana menteri


Mohd Farhan Darwis

PAS dilihat tidak ada pelapis yang menonjol untuk diangkat ke kedudukan tinggi sebagai perdana menteri, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2022.

PAS perlu berubah selari dengan peredaran zaman sekiranya mahu rakyat secara menyeluruh menerima pentadbirannya sehingga seorang pemimpin parti Islam itu boleh diangkat sebagai perdana menteri, kata penganalisis.

Minggu lalu, semasa di Muktamar Tahunan ke-68 PAS, di Alor Setar, pengarah pilihan rayanya Muhammad Sanusi Md Nor berkata parti Islam itu mempunyai pelan 30 tahun untuk meletakkan pemimpinnya sebagai perdana menteri menjelang 2050.

Namun penganalisis merasakan PAS sukar untuk merealisasikan hasrat tersebut dalam suasana politik semasa, berikutan perpecahan parti-parti Melayu hari ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berpandangan, parti Islam itu pernah menerima sokongan rakyat pelbagai kaum ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Beliau tidak menolak kemungkinan mereka mampu mengulanginya kembali.

“Ada peluang, tapi kena berubahlah, pendekatan PAS untuk semua, negara berkebajikan… (dengan pendekatan itu) bukan Melayu, bukan Islam boleh sokong.

“PAS pernah dapat sokongan bukan Melayu, zaman Nik Aziz dulu tapi lepas PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, (pendekatan mereka) makin keras, jadi orang bukan Melayu tak berapa terima lagi.

“(Tapi) PAS pada masa akan datang ada peluang tapi pendekatannya kena sesuai dengan zaman itu, tak boleh guna cara lama,” kata Mazlan.

Katanya, pendekatan menghukum tidak lagi sesuai pada masa akan datang, malah semakin menjauhkan rakyat daripada PAS, bukan sahaja kumpulan bukan Islam tetapi juga orang Melayu dan Muslim progresif.

Perjuangan PAS membawa agenda berkaitan hukuman seperti Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 katanya semakin menjauhkan kumpulan pengundi seperti itu.

PAS pernah menerima sokongan rakyat pelbagai kaum ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP, kata Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2022.

“Kalau masih bawa perkara seperti RUU355, orang bukan Islam tak nak, Melayu progresif pun tolak. Mereka tak melihat Islam sebagai menghukum tetapi Islam yang membawa rahmat untuk semua, bukan untuk orang Islam sahaja tapi Islam yang boleh menjaga orang bukan Islam.

“Orang Islam hari ini mungkin 20 atau 30 tahun akan datang cara pemikiran lain, ia akan dipengaruhi peredaran zaman.

“Ini akan mempengaruhi… orang makin maju, bukan makin kolot,” kata Mazlan.

Mazlan juga melihat PAS tidak mempunyai pelapis yang menonjol untuk diangkat ke kedudukan tinggi sebagai perdana menteri.

“Hari ini ketokohan PAS tak nampak sangat, susah nak kata, payah juga itu.

“PAS gunakan sistem walak, orang muda dan orang tua berfikir sama sahaja. Kita tak dapat beza dinamik pemikiran mereka, tak nampak beza.

“Orang muda pula tak berani nak beza pandangan sangat jadi kita tak nampak pelapis mereka, yang ada sekarang biasa-biasa sahaja sedangkan nak jadi calon perdana menteri wibawa mereka lain,” katanya.

Dalam ucapannya, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah turut berkata PAS meletakkan sasaran menang di 40 kerusi Parlimen untuk membolehkan mereka jadi penentu sekiranya berlaku gabungan di peringkat persekutuan.

Sekiranya keadaan itu berlaku, Sanusi berpandangan dalam tempoh 30 tahun, PAS akan dapat meletakkan pemimpin mereka sebagai perdana menteri.

Penganalisis Sayuti Omar bagaimanapun juga tidak yakin parti Islam tersebut mampu mencapai cita-cita tersebut.

Sasaran PAS menang separuh daripada 80 kerusi yang ditandinginya juga ibarat angan-angan Mat Jenin, katanya.

“Kalaupun bergabung dengan Umno, PAS, dan Bersatu, PAS takkan dapat 40 kerusi. Itu kerusi Melayu; Umno dan Perikatan Nasional (PN) harapkan kerusi Melayu.

“Angan-angan jadi perdana menteri angan-angan Mat Jenin… tetapi kita tak boleh marah PAS, walaupun realitinya tak akan tercapai, mereka saja nak buat gempak, nak berangan, itu hak mereka,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Secara kasar, terdapat kira-kira 120 kawasan Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu.

Menurut Sayuti, usahkan menambah kerusi sehingga 40, mempertahankan kerusi yang mereka menang mereka pada PRU 14 lalu pun sukar bagi PAS.

“Nampak PAS nak pertahan kerusi dia ada bukan mudah, kecuali bergabung Umno, PN. Tapi sudah tentu ada penolakan di kawasan pertembungan tiga atau empat penjuru.

“Teori boleh tapi logiknya tak akan kesampaian,” kata Sayuti.

Bekas pemimpin yang kini menentang PAS Mahfuz Omar juga berkongsi pandangan sama, dan menegaskan PAS dijangka sukar mempertahankan penguasaannya di Kedah dan Terengganu.

Naib Presiden Amanah berkata, isu pentadbiran yang lemah selain kegagalan menguruskan air di Kelantan juga berkemungkinan memberikan kesan kemerosotan sokongan kepada PAS.

“PAS dilihat tak mampu pertahan kemenangan mereka pada PRU akan datang, itu hanya lontaran seolah-olah beri keyakinan untuk rakyat undi mereka, sedangkan mereka berhadapan krisis keyakinan.

“Mereka tak mampu berikan satu solusi kepada permasalahan. Kelantan solusi masalah air sampai sekarang tak selesai. Takkan nak tunggu 2050 bila PAS jadi perdana menteri baru nak selesai.

“Isu ini tak selesai macam mana nak selesaikan isu lebih besar dalam konteks kehidupan rakyat,” katanya, yang juga bekas naib presiden PAS.

Tambahnya, hasrat yang dibangkitkan Sanusi itu tidak lebih sekadar mimpi buat parti komponen PN itu.

“Itu mimpi, sesiapa pun berhak untuk mimpi, ia seharusnya melihat kepada persekitaran, saya percaya mimpi untuk 2050 sesuatu terlalu jauh, cuba beri gambaran mengharapkan kemenangan pada pilihan raya akan datang,” kata Mahfuz. – 8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen