PM Malaysia dari PAS tahun 2050, kata Sanusi


Diyana Ibrahim

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor berkata Malaysia akan dapat ditadbir perdana menteri dari parti itu dalam tempoh 28 tahun lagi.– Gambar Facebook, 4 September, 2022.

DALAM tempoh 28 tahun lagi, Malaysia akan dapat ditadbir perdana menteri dari PAS, kata pengarah pilihan raya parti itu Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri besar Kedah itu berkata sasaran itu dapat dicapai jika parti Islam itu berjaya menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, PAS akan dapat menjadi penentu kerana tiada parti lain akan dapat menubuhkan kerajaan tanpa sokongan parti Islam berkenaan.

“40 kerusi ini (penanda aras) diletakkan dalam perjalanan PAS yang panjang dan sasaran bermula 2020 sehingga 2050.

“Tahun 2050 siapa dapat hidup waktu itu akan dapat saksikan perdana menteri Malaysia dari PAS,” katanya dalam ucapan di persidangan Muktamar Tahunan ke-68 PAS, di Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata prestasi PAS menerusi menteri dan timbalan menterinya juga cemerlang kerana banyak perjuangan dan dasar parti kini dinikmati rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Sanusi memberi amaran kepada ahli untuk tidak memboikot parti itu jika tidak tercalon atau parti mencalonkan bukan pilihan dalam PRU15 ini.

Beliau menegaskan, parti menolak sebarang cubaan dari kumpulan yang mahu mengubah atau melobi selepas pencalonan diputuskan.

Sanusi berkata, usaha melalui “rombongan Cik Kiah” itu dijangka akan cuba menemui beliau di Alor Setar, presiden parti di Rusila atau ke ibu pejabat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“... Ahli dilarang boikot parti dalam PRU ini kerana ini yang berlaku dalam beberapa kawasan.

“Pasal pencalonan PRU15 ini akan selalu ada rombongan Cik Kiah pergi ke Rusila, Jalan Laut atau datang ke Alor Setar.

“Tapi selepas keputusan dibuat PAS Pusat sebarang keputusan ubah melobi kumpulan itu akan diharamkan oleh saya,” katanya.

Semalam naib presiden Nik Mohd Amar Nik Abdullah juga menekankan PAS perlu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk mengukuhkan kedudukannya di Putrajaya.

Nik Amar yang juga menteri besar Kelantan menyatakan parti itu perlu kekal menguasai kerajaan persekutuan dan mengekalkan tiga negeri yang dikuasai – Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dalam pilihan raya umum 2018, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen iaitu enam di Terengganu, sembilan di Kelantan dan tiga di Kedah.

PAS kemudian berjaya menyertai pentadbiran persekutuan selepas berpakat dengan Bersatu dan Umno menerusi Langkah Sheraton pada Mac

PAS kini hilang satu kerusi selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali bertindak keluar parti selepas pucuk pimpinan mengugugurkan jawatannya. – 4 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen