Pendirian ekstrem PAS halang konsert demi raih undi konservatif, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Pemuda PAS sifatkan konsert bertentangan dengan norma dan nilai hidup umat Islam di Malaysia. – Gambar fail EPA, 7 September, 2022.

GESAAN PAS supaya konsert artis antarabangsa diharamkan dan disifatkan tidak islamik hanyalah untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis politik.

Mereka berkata matlamat parti Islam itu hanyalah untuk meraih undi golongan konservatif.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PAS cuba membuktikan kepada penyokong tegarnya walau mereka sebahagian daripada pemerintah hari ini namun mereka tetap dengan pendirian asal.

“PAS tidak kisah jika kenyataan itu akan menjauhkan pengundi bukan Melayu atau bukan Islam dengan partinya. Matlamat PAS nak kekalkan sokongan Melayu di kawasan Melayu. Mereka tidak boleh hilang sokongan di situ.

“Parti Islam ini percaya dengan kenyataan yang berani dan tegas itu ia akan mengekalkan sokongan pengikutnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Hisommudin kenyataan provokasi daripada parti Islam itu akan menguntungkan PAS di tiga negeri yang dikuasai mereka iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Dengan pendirian begitu PAS mampu menepis pandangan segelintir penyokongnya yang mendakwa parti itu sudah berubah semenjak menjadi kerajaan.

“Ini boleh bantu parti untuk hentikan hakisan kepercayaan dalam kalangan pengikut setia mereka yang curiga dengan pemimpin parti mereka yang dalam kerajaan sekarang ini,” katanya.

Bulan lepas Pemuda PAS mengugut untuk mengadakan protes di seluruh negara sekiranya Putrajaya tetap membenarkan penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini.

Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari berkata konsert sedemikian wajar dibatalkan bagi mengekang budaya hedonism (mementingkan keseronokan) yang jelas bertentangan dengan norma dan nilai hidup umat Islam di Malaysia.

Dewan Ulama PAS berkata Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) perlu diberi peranan yang lebih besar dalam kelulusan penganjuran konsert-konsert antarabangsa di negara ini.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata konsert antarabangsa yang sudah menerima kelulusan pihak berkuasa boleh diteruskan namun katanya konsert yang masih belum mendapat kelulusan akan dikaji semula kesesuaiannya dengan budaya Malaysia.

Dalam pada itu penganalisis politik James Chin dari Asia Institute University of Tasmania berkata tindakan PAS tidak akan memberi manfaat kepada rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN).

“Satu-satunya cara untuk faham gesaan PAS larang konsert ini untuk raih sokongan PRU15. Mereka tidak peduli orang lain.

“Mereka yang terjejas bila gesaan itu dibuat adalah Gerakan dan parti Sabah dalam PN kerana mereka tidak dapat jelaskan kepada penyokong kenapa mereka mahu berada dalam gabungan dengan parti ekstremis seperti PAS,” katanya.

Sementara penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata PAS sepatutnya memberi perhatian kepada isu lain yang lebih signifikan.

“Ada banyak isu lain yang meruncing sepatutnya PAS peduli seperti rasuah, kos hidup, perkhidmatan awam tapi tidak disentuh dengan baik.

“Pemahaman mereka tentang Islam cetek. Apa yang mereka fikir hanya soal kawasan mereka yang konservatif,” katanya. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen