Beri Jakim lebih kuasa halang anjur konsert artis luar, kata PAS


Diyana Ibrahim

Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya menggesa Putrajaya beri peranan, kuasa lebih besar kepada Jakim dalam Puspal agar dapat mengelakkan kemasukan ideologi songsang dipromosikan artis Barat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu diberi peranan lebih besar dalam Agensi Pusat Permohonan Penggembaraan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), kata Dewan Ulama PAS.

Ketuanya Ahmad Yahya menyifatkan penglibatan Jakim dalam agensi itu hanya sekadar pelengkap syarat, tiada kuasa untuk bantah penganjuran konsert artis barat yang bertentangan norma agama dan budaya timur.

Beliau dalam masa sama turut mengecam artis barat yang membawa idea Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), berkata natijahnya merosakkan masyarakat.

“Kita juga sewajarnya peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.

“Penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat adalah bertentangan dengan agama dan budaya timur. Apatah lagi dalam keadaan negara baharu sahaja menempuh tempoh pemulihan pasca pandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf.

“Sewajarnya penglibatan agensi agama seperti Jakim ke dalam Puspal perlu diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa,” katanya berucap di Muktamar Dewan Ulama PAS di Guar Chempedak, Kedah hari ini.

Rabu lepas, menteri agama Idris Ahmad mendedahkan Jakim berupaya menentang penganjuran konsert artis barat.

Beliau berkata cuma Jakim sahaja yang tidak bersetuju sedangkan 15 lagi agensi di bawah Puspal menyokong penganjuran konsert artis barat.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari juga mengecam penganjuran konsert artis antarabangsa, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk turun ke jalan raya jika tidak berterusan.

Mengulas lanjut, Ahmad Yahya yang juga ahli Dewan Negara turut menggesa kerajaan menambah baik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) bagi mengekang budaya songsang itu daripada terus menular dalam negara.

Tegasnya PTSI perlu ditambah baik sejajar dengan perkembangan semasa agar tiada ruang bagi agenda LGBT menerobos masuk.

“Perkara ini termasuklah melalui rancangan-rancangan kartun kanak-kanak serta penstriman langsung seperti Netflix.

“Peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke dalam negara,” katanya. – 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen