2 nelayan hilang ketika jala ikan ditemukan selamat 


DUA nelayan yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan semalam, ditemukan selamat berhampiran jalan utama Kampung Sungai Telor di Kota Tinggi, pagi ini. 

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Asmiza Zaini berkata kedua-dua mangsa, Wan Nain Wan Abd Kadir, 44, dan Nik Norzi Abd Rahman, 48, ditemukan dalam keadaan lemah pada jarak 700 meter dari Sungai Telor, pada 7.40 pagi tadi. 

“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudiannya melakukan rawatan kepada Wan Nain yang mengalami cedera ringan pada bahagian kaki sebelum mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.24 malam tadi, sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. 

Asmiza berkata kaedah pencarian pada permukaan air di kawasan tebing sungai itu telah dilaksana sehingga 2 pagi tadi. 

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.25 pagi. – Bernama, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen