8 pendatang lemas ketika cuba seberang sempadan Mexico-AS


Sungai Rio Grande yang menjadi laluan pendatang untuk masuk ke AS menerusi Mexico.– Gambar EPA, 3 September, 2022.

SEKURANG-kurangnya lapan pendatang mati lemas dan berpuluh-puluh yang lain diselamatkan selepas cuba menyeberangi sungai Rio Grande dari Mexico ke Amerika Syarikat, kata pegawai pada Jumaat.

Peronda Kastam dan Sempadan (CBP) AS dalam satu kenyataan berkata kejadian lemas berlaku pada Khamis, apabila sekumpulan besar pendatang cuba menyeberangi Rio Grande berhampiran Eagle Pass, Texas.

Tiga puluh tujuh orang telah diselamatkan, kata CBP, tetapi “sebahagian daripada misi menyelamat juga membawa kepada penemuan lapan pendatang yang mati, dua ditemui oleh Kerajaan Mexico dan enam oleh ejen (AS).

Seramai 92 pendatang telah ditahan dalam kumpulan itu, 39 di tepi sungai Mexico dan 53 oleh ejen AS, kata CBP.

Tiada maklumat diberikan tentang umur atau kewarganegaraan pendatang.

“Pencarian diteruskan untuk mencari kemungkinan ada mangsa lain,” tambah CBP.

Seorang pegawai CBP memberitahu Washington Post bahawa kejadian  lemas beramai-ramai nampaknya adalah yang paling teruk dalam beberapa tahun di sepanjang Rio Grande.

Eagle Pass terletak dalam wilayah Del Rio CBP, yang mana hampir 50,000 pendatang telah ditangkap bulan lalu, menurut data kerajaan.

Ketua bomba bandar itu, Manuel Mello, memberitahu New York Times bahawa pendatang telah dihanyutkan oleh arus deras kira-kira satu batu ke selatan Jambatan Antarabangsa yang menghubungkan Eagle Pass dengan Piedras Negras, Mexico.

Mello menyatakan bahawa kejadian lemas kerap berlaku di kawasan itu, dengan paling kurang satu kes sehari.

Kematian migran beramai-ramai baru-baru ini telah menyerlahkan perjalanan berbahaya yang dilakukan ratusan ribu pendatang setiap tahun untuk sampai ke Amerika Syarikat dari Mexico.

Pada Jun lalu, lebih 50 orang maut selepas ditinggalkan dalam treler tengah panas terik di San Antonio, Texas. – AFP, 3 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen