Bersama lawan usaha Umno dapatkan pengampunan diraja bebaskan Najib, kata Santiago


Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas hukumannya dalam kes SRC International dikekalkan Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2022.

RAKYAT Malaysia perlu bersatu dan menentang petisyen Umno untuk mendesak Najib Razak diberikan pengampunan diraja, kata wakil rakyat Klang Charles Santiago.

Wakil rakyat DAP itu mengulas gesaan Ahmad Zahid Hamidi semalam yang meminta ahli Umno terlibat dalam petisyen dengan memberikan sokongan kepada Najib, bekas presiden Umno, yang dipenjarakan minggu lepas.

“Ia tak rumit. Zahid Hamidi sedang main wayang rakyat: mereka yang tak faham mengapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan kemasukan bukti baharu atau penangguhan. Adakah ia hanya untuk bebaskan Najib? Tidak. Ia untuk selamatkan dirinya sendiri.”

“Mengapa susah sangat rakyat biasa untuk percaya yang Najib rompak duit? Ia kerana dia dimanipulasi media sosial dan Zahid sedang buat perkara sama sekarang. Kita, rakyat, perlu sedar dan lawan balik,” gesa Santiago.

Presiden Umno itu pada sidang taklimat khas pada Sabtu berkata parti itu akan menganjurkan petisyen untuk membebaskan Najib.

“Kita mesti bersedia memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan kepada Najib.

“Kita serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya,” katanya.

Tambah Santiago, pengampunan diraja akan menjadi sindiran kepada institusi kehakiman negara, dan mendesak rakyat untuk bersatu dan melawan taktik Umno.

“Satu perkara yang kita boleh buat untuk negara hari ini, menjelang Hari Merdeka adalah memastikan tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa boleh menjadikan negara ini tebusan.”

“Politikus menggelarkan kita orang biasa berbanding Najib, yang berada dalam kumpulan orang yang ada keistimewaan. Tetapi, biar kita tunjuk berapa berkuasanya kita sebagai “satu” rakyat. Mari bersama bersatu untuk melawan taktik cilik untuk membebaskan penjenayah yang sudah sabit bersalah,” katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan mengarahkan Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Dia juga diarahkan membayar denda RM210 juta.

Walaupun kes SRC International sudah tamat, Najib masih mempunyai lima kes yang sedang dibicarakan, bermakna dia akan kerap keluar penjara bagi menghadiri perbicaraan.

Dalam kes 1MDB, Najib berdepan 25 pertuduhan.

Empat daripadanya adalah kes salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana kesalahan didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014. – 28 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen