Dr Mahathir yakin Najib akan diampun


Dr Mahathir Mohamad berkata memandangkan kes SRC International mengambil masa yang panjang, banyak kes lain tertangguh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2022.

NAJIB Razak berkemungkinan besar akan menerima pengampunan pada masa depan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun) banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai,” katanya.

“Ada pepatah Inggeris yang berkata ‘justice delayed is justice denied’ yang boleh kita terjemah sebagai ‘keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai’.

“Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara,” katanya

Pengerusi Pejuang itu berkata ahli Parlimen Pekan itu sedang menghadapi perbicaraan atas pertuduhan lain juga, dan kesemua kes ini juga mungkin ditangguhkan sambil berkata hakim sendiri mungkin tidak gembira dengan penangguhan itu.

“Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International dan memerintahkan beliau menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang serta-merta.

Beliau juga perlu membayar denda RM210 juta.

Walaupun kes SRC International sudah selesai, Najib masih mempunyai lima perbicaraan yang sedang berjalan, bermakna beliau dijangka kerap meninggalkan penjara untuk menghadiri kes mahkamahnya.

Dalam perbicaraan 1MDB, Najib menghadapi 25 pertuduhan.

Empat daripadanya adalah pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Baki 21 pertuduhan adalah berkaitan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan sembilan pertuduhan menerima RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan RM2.19 bilion dan lima pertuduhan menggunakan RM22.65 juta. – 25 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen