ANGKA kematian akibat pengepungan 30 jam oleh militan Al-Shabaab di sebuah hotel di ibu negara Somalia, Mogadishu meningkat kepada 21, kata Menteri Kesihatan Ali Haji Adan pada Ahad.
Serangan senjata api dan bom oleh kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda ke atas hotel terkenal Hayat menyebabkan sebahagian bangunan itu runtuh, dengan ramai orang dikhuatiri terperangkap di dalam sejak serangan bermula pada petang Jumaat.
“Kementerian kesihatan setakat ini mengesahkan 21 orang terbunuh dan 117 orang cedera, 15 daripadanya parah,” kata Adan.
Petugas kecemasan dan pakar pemusnah bom berjaya memasuki hotel yang rosak teruk itu pada Ahad, mencari sebarang bahan letupan dan mengalihkan runtuhan ketika pasukan keselamatan mengawal kawasan itu.
Pesuruhjaya polis Abdi Hassan Mohamed Hijar memberitahu pemberita pada Ahad bahawa “106 orang termasuk kanak-kanak dan wanita” telah diselamatkan semasa pengepungan, yang berakhir sekitar tengah malam.
Pasukan keselamatan menggeledah hotel berkenaan untuk membawa orang awam ke tempat selamat, termasuk tiga kanak-kanak kecil yang bersembunyi di dalam tandas.
“Kebanyakan mangsa terkorban pada awal serangan, selepas itu pasukan keselamatan mengambil masa untuk menyelamatkan orang secara individu dan di setiap bilik,” kata Hijar.
Serangan itu adalah yang terbesar di Mogadishu sejak Presiden baharu Somalia Hassan Sheikh Mohamud memegang jawatan pada Jun. – AFP, 22 Ogos, 2022.
Komen