Pegawai Imigresen ditukar bahagian susulan keluar kata kesat


Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan pegawai terbabit bertentangan dengan slogan jabatan iaitu 'Integriti, Profesional, Mesra'. – Gambar Facebook, 21 Ogos, 2022.

SEORANG pegawai Imigresen yang didakwa mengeluarkan kata kesat kepada orang awam dalam satu kejadian baru-baru ini seperti tular melalui sebuah video, ditukar ke bahagian lain dan berhadapan siasatan bahagian Integriti jabatan itu.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang dipercayai berlaku di Shah Alam, Selangor walaupun hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi daripada orang awam berkenaan.

“Bagaimanapun tindakan diambil pegawai terbabit, bertentangan slogan jabatan iaitu ‘Integriti, Profesional, Mesra’. Selain itu, diakui menjerit dan mengeluarkan kata kesat terhadap orang awam tidak sepatutnya dilakukan seseorang pegawai Imigresen, yang merupakan penjawat awam,” katanya.

Sebelum ini, tular video di media sosial yang mana seorang lelaki berusia 50-an berang, kerana tidak mendapat layanan sewajarnya dipercayai ketika membuat pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC), Seksyen 14, Shah Alam.

Khairul berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan provokasi orang awam berkenaan, namun berpendapat pegawai Imigresen seharusnya lebih bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar mencukupi.

“Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan dalam talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad. Jabatan Imigresen (JIM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini.

“JIM juga ingin menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang bersikap tidak profesional, dalam masa sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan,” katanya. – Bernama, 21 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen