UiTM rehatkan profesor didakwa hina pelajar miskin


UiTM hari ini memutuskan untuk merehatkan buat sementara seorang profesor yang baru-baru ini menjadi topik hangat negara berikutan kata-katanya yang disifatkan menghina golongan B40. – Gambar tangkap layar video, 30 Mac, 2022.

PENSYARAH Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Roshana Takim yang meraih kontroversi kerana didakwa menghina seorang pelajar miskin kini direhatkan dari tugas, menurut universiti itu.

Jabatan komunikasi universiti itu menyebut, tindakan tersebut berkuat kuasa 1 April sehingga siasatan lengkap dijalankan ke atas kes tersebut.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” jelas jabatan itu yang menyebut, ia diputuskan lembaga pengarah universiti berkenaan semalam.

Kes itu berkait satu rakaman video yang memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar dalam insiden yang didakwa berlaku sewaktu satu sesi pembelajaran dalam talian

Dalam rakaman itu, pensyarah yang kini dinamakan UiTM sebagai Roshana, berang kerana pelajar tersebut tidak mempunyai komputer riba walaupun sedang menuntut di semester lima.

Roshana dalam video itu antara lain berkata, kes seperti itu menyebabkan beliau “tidak boleh duduk dengan B40”.

Menurutnya golongan tersebut lebih mengutamakan perkara lain berbanding pelajaran.

Dalam video tersebut, pensyarah itu juga mengarahkan pelajar terbabit meminta saudara-mara menjual gelang emas bagi membeli komputer riba untuk pelajarannya.

Beliau didakwa mengucapkan demikian selepas mendapati bapa pelajar tersebut tidak bekerja pada waktu itu dan ibunya pula sudah meninggal dunia.

Rakaman berkenaan tular pada Rabu, yang memaksa UiTM menjalankan siasatan.

Naib canselornya Prof Roziah Mohd Janor pada waktu itu menyatakan universiti sudah pun mengenal pasti individu terbabit dan sedang meneliti tindakan sewajarnya.

Beliau juga mengesyaki terdapat objektif tertentu di sebalik usaha mendedahkan rakaman tersebut pada waktu ini kerana insiden itu didapati berlaku pada semester lalu.

Katanya, Roshana dikenal pasti sebagai pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur. – 1 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen