Ahli politik Sarawak gesa polis tangkap guru disyaki rogol pelajar


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata beliau telah menyeru polis maklum kepada orang ramai tentang perkembangan usaha mengesan dan menangkap guru yang didakwa merogol pelajar di sebuah sekolah di Sebauh, Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

AHLI politik Sarawak menggesa polis segera tangkap seorang guru sekolah yang kini dalam pelarian selepas dua pelajar sekolah menengah di Sebauh, Bintulu mendakwa dicabul atau dirogol secara seksual.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Fatimah Abdullah antara yang terbaharu menyeru polis “mempertingkatkan usaha mereka” membawa guru yang berasal dari Kelantan itu ke muka pengadilan.

Yii telah menyeru polis memaklumkan kepada orang ramai tentang perkembangan usaha mereka mengesan dan menangkap guru itu manakala Fatimah menggesa “siasatan menyeluruh” bagi menentukan sama ada jenayah yang didakwa itu adalah kes rogol berkanun dan/atau kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Dua pelajar sekolah berusia 14 tahun itu merupakan etnik minoriti Kayan.

Yii berkata sudah lebih lima hari sejak dakwaan rogol itu didedahkan kepada umum oleh Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, dan “setakat ini kami tidak mendengar berita mengenai suspek”.

Beliau berkata polis sekurang-kurangnya boleh mendedahkan sama ada guru itu telah keluar, atau masih berada di negeri ini, memandangkan semua orang termasuk rakyat Sarawak, perlu melalui imigresen untuk memasuki atau meninggalkan negeri ini.

“Memandangkan Sarawak ada autonomi imigresen, saya pasti jabatan imigresen ada rekod apabila dia tinggalkan Sarawak dan ke mana dia pergi,” tambahnya.

Yii berkata polis boleh “pantau urus niaga banknya bagi menentukan di mana dia berada atau mendapatkan perintah mahkamah untuk membekukan akaunnya.”

“Suspek perlu dikesan dan ditahan secepat mungkin bagi menjamin keadilan kepada mangsa dan keluarga mangsa.

“Apabila perkara ini berlarutan, ia akan memberi tanggapan yang salah dan dianggap sebagai keadilan tertangguh untuk mangsa dan keluarga.”

Ahli parlimen DAP itu berkata kejadian itu boleh menjejaskan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah seumpama itu jika mereka merasakan mereka tidak dilindungi sepenuhnya.

Fatimah berkata kementeriannya bersedia membantu gadis sekolah itu mengharungi trauma mental akibat dirogol. – 17 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen