Adun Tronoh didapati bersalah rogol pembantu rumah


Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bekas exco kerajaan Perak Paul Yong bersalah merogol pembantu rumah Indonesia pada 7 Julai 2019. – Gambar Facebook, 27 Julai, 2022.

ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kerana merogol pembantu rumah warga Indonesia pada 2019.

Hakim Abdul Wahab Mohamed yang membacakan penghakiman kira-kira pukul 10.10 pagi memutuskan Yong bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hakim membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Yong dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi dibantu dua timbalan pendakwa raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadaruddin.

Bekas exco kerajaan negeri itu didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Yong mendakwa tuduhan itu bermotifkan konspirasi politik.

Sepanjang tempoh perbicaraan, dia keluar DAP untuk jadi Adun Bebas sebelum sertai Parti Bangsa Malaysia.– 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen