Kekecohan di masjid calarkan semangat Ramadan


Looi Sue-Chern Nabihah Hamid Zulkifli Sulong

Belum seminggu Ramadan, dua kejadian berlaku di masjid mencalarkan semangat bulan suci Islam yang menggalakkan belas ihsan dan berkasih sayang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2017.

POLITIK dan agama seringkali dianggap campuran beracun. Dan setiap kali ia bercampur, sikap tidak bertoleransi akan membenih. Setiap kali pilihan raya makin menjelang, sikap ini semakin menjadi-jadi.

Dan inilah yang berlaku dalam masa kurang seminggu orang Islam menyambut Ramadan dalam dua kejadian berasingan apabila ahli politik Pakatan Harapan (PH) diugut dan dipukul hanya kerana melawat masjid.

Kedua-dua kejadian ugutan itu dilakukan sekumpulan kecil umat Islam yang mendakwa orang bukan Islam tidak boleh menjejakkan kaki ke masjid dan melibatkan diri dalam acara berbuka puasa bersama orang Islam.

“Tindakan ini tidak masuk akal dan tidak menghormati Ramadan dan yang memalukan ia dibuat atas nama Islam,” kata Mujahid Yusof Rawa, ahli politik Islam daripada Amanah.

Kejadian pertama berlaku Rabu lepas di Subang apabila Ahli Parlimen R Sivarasa hadir ke Masjid Annur di Kg Melayu Subang untuk memberikan sumbangan seperti yang sering dilakukan sejak beberapa Ramadan lepas.

Sumbangan bernilai sekitar RM71,000 adalah sebahagian sumbangan kerajaan Selangor kepada 60 masjid dan surau di Subang setiap tahun.

Dan seperti tahun-tahun lepas, sebelum memberikan sumbangan itu, Sivarasa menyampaikan ucapan di dalam surau.

“Saya Ahli Parlimen Subang. Saya dijemput pihak masjid kerana saya wakil rakyat di situ. Kota Damansara adalah salah satu DUN saya. Majlis itu dibuat di dalam masjid dan lebih 60 wakil surau hadir. Saya terkejut dengan kekecohan ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wakil rakyat penggal kedua itu berkata kumpulan menggelarkan diri mereka Gerakan PAMPS mendesak dia meminta maaf kerana masuk masjid sedangkan dia bukan Islam. Kumpulan itu juga membuat laporan polis di balai polis Sungai Buloh.

“Saya pun tidak faham, Ini bukan kali pertama saya masuk masjid. Ketika jadi ketua cawangan PKR, saya masuk masjid apabila ada kematian. Saya beri penghormatan pada jenazah. Sudah puluhan kali masuk masjid. Bagi saya, kehadiran saya bukan salah. Saya buat tanggungajwab sebagai wakil rakyat yang dipilih masyarakat Islam dan bukan Islam,” kata Sivarasa. 

Dua hari kemudian, satu kumpulan berdemonstrasi di luar masjid di Pulau Pinang juga menimbulkan kekecohan apabila mereka menampar seorang pegawai negeri Pulau Pinang.

Mereka yang ketika itu membantah apa yang disifatkan sebagai campur tangan kerajaan negeri dalam fatwa memutuskan bertindak tanpa mengikut undang-undang apabila menampar Zaidi Ahmad.

Zaidi berkata dia hanya mahu bertanya kepada Pengerusi Jalinan Muslimin Pulau Pinang Mohamed Hafiz Mohamed Nordin tentang fatwa mana yang kerajaan Pulau Pinang masuk campur.

“Sekarang tanya soalan pun dah kena tampar, depan masjid pula tu. Ia sebenarnya bukan saja biadab bahkan tidak menampakkan keperibadian sebagai seorang Islam,” kata Mujahid, ahli Parlimen Parit Buntar.

Pemimpin PAS yang kini bertukar arah menyertai Amanah itu juga berkata sangat dikesali yang pembantah mahu menghalang Ketua Pulau Pinang Lim Guan Eng dan orang bukan Islam daripada turut serta berbuka puasa dengan orang Islam.

“Mana ada syarat untuk orang bukan Islam berbuka puasa kena masuk Islam dulu. Sepatutnya menjadi budaya kita untuk mengajak orang bukan Islam berbuka bersama agar dia mendapat merasai keindahan amalan Islam,” katanya yang juga anak bekas mursyidul am PAS pertama Yusof Rawa.

Sementara itu, kerajaan negeri Pulau Pinang berkata ia akan menganjurkan acara berbuka puasa peringkat negeri pada 11 Jun nanti.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang juga penasihat strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata acara itu akan dilangsungkan walaupun beberapa kumpulan orang Islam mendakwa ketua menteri tidak boleh menyertai orang Islam dalam acara buka puasa melainkan dia memeluk agama Islam.

Saifuddin berkata Lim akan menghadiri acara berbuka puasa bersama-sama kepimpinan tertinggi PH yang lain iaitu Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Pribumi Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Kami akan menunjukkan bagaimana PH bekerjasama untuk membentuk keamanan dan menggalakkan ikatan baik antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Kami juga mempunyai acara berbuka puasa di Johor dan Melaka,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Saifuddin berkata apa yang berlaku Jumaat lepas ketika Jalinan Muslimin Pulau Pinang mengadakan bantahan di luar masjid Simpang Enam yang meminta Lim tidak menghadirkan diri dalam acara berbuka puasa sebagai “bertentangan dengan Islam”.

Mudah untuk keliru apabila masyarakat terlalu taksub kepada sesuatu, katanya.

“Tidak salah untuk orang bukan Islam menyertai orang Islam berbuka puasa. Menjadikan sesuatu yang halal sebagai haram adalah salah.

“Ia memberikan gambaran buruk kepada ajaran Nabi dan Islam.”

Exco Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata kerajaan negeri mengutuk keras bantahan itu, tidak mencerminkan Islam yang menjunjung kasih sayang dan belas ihsan.

Katanya, berbuka puasa bersama dengan orang bukan Islam pada Ramadan ialah tradisi di Pulau Pinang.

Beliau meminta Lim supaya tidak menghadiri acara berbuka puasa sebagai “ketinggalan zaman”, dan berjanji kerajaan negeri akan meneruskan usaha mereka untuk menggalakkan kesejahteraan kaum dan agama dengan merapatkan semua kepercayaan untuk bersama-sama menyambut Ramadan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Mohammad Nizar Jamaluddin, yang hadir pada sidang media itu, berkata sewaktu kempen pilihan raya sebelum ini, Lim menyertai pemimpin PAS berbuka puasa dan tiada masalah timbul.

“Di Masjid Negara, acara buka puasa di situ juga meraikan orang bukan Islam. Tiada perbincangan yang mengatakan itu haram,” katanya. – 29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen