‘Nasi Vanggey’ tambah terkenal selepas disebut Najib


Noel Achariam

Pandangan hadapan restoran 'Nasi Vanggey' yang berkongsi premis dengan Kedai Kopi Yong Suan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Februari, 2018.

RESTORAN nasi kandar di Ipoh yang dikenali sebagai ‘Nasi Vanggey’ menikmati peningkatan jualan selepas Perdana Menteri Najib Razak memuji harga murah restoran itu baru-baru ini.

Pemiliknya Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa berkata, ada lonjakan pelanggan di kedainya sejak Najib menyebut tentang nasi kandarnya ketika mengadakan forum dalam talian.

“Sejak disarankan beliau, perniagaan kami berkembang daripada 20% kepada 30%,” kata Mohamed Nihmathullah, sambil menunjukkan barisan panjang pelanggannya dan juga beberapa pengunjung berdiri menunggu meja kosong.

Peniaga nasi kandar generasi keempat itu berkata, pada 2016, Najib melawat restorannya dan memesan makanan untuk 20 orang yang mana lauk pauknya terdiri dari ayam, daging, telur masin, telur ikan, sotong dan juga ikan.

“Najib suka ayam goreng dan beliau kerap makan dua atau tiga ketul ayam,” katanya menambah yang perdana menteri sangat teruja dengan harga yang berpatutan di restorannya ini.

“Saya pernah menjamu beliau di hotel dan waktu itulah beliau bertanya berapa harga sepinggan (nasi kandar),” tambah Mohamed Nihmathullah.

“Saya beritahu perdana menteri yang harganya RM4.80 untuk sepinggan. Kemudian beliau minta saya kekalkan harga dan kualiti makanan. Jadi kami pun ikutlah,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika bertemu di restorannya.

Penduduk tempatan menggelarkan restoran itu sebagai “Nasi Vanggey,” kerana “vanggey” dalam bahasa Tamil bermaksud “datang,” walaupun nama sebenar restoran itu adalah Nasi Kandar Ayam Merah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Februari, 2018.

Pada sesi soal jawab dalam talian Khamis lalu, Najib menyarankan rakyat Malaysia membezakan antara kos sara hidup tinggi dan perbelanjaan gaya hidup. 

Katanya ada perbezaan antara memilih untuk makan di restoran mewah Jepun dengan makan di restoran mamak.

Beliau kemudiannya menyebut restoran Nasi Vanggey di Ipoh yang mana makanannya boleh didapati dengan harga semurah RM4.80.

Mohamed Nihmathullah berkata, harga nasi kandar beserta ayam dan sayur sentiasa ditetapkan pada kadar RM4.80.

“Kami dah wujud sejak merdeka. Waktu itu, harga sepinggan nasi kandar hanya 50 sen.

“Kami hormat Najib dan akan sentiasa kekalkan harga walaupun ekonomi tidak berapa bagus.”

Dalam sesi soal jawab itu juga, Najib mendedahkan yang beliau sudah meninggalkan nasi dan mula mengamalkan pengambilan kuinoa yang menurutnya lebih berkhasiat.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia mengubah diet dengan menggantikan nasi dengan kuinoa.

Mohamed Nihmathullah berkata, kedainya hanya menyediakan nasi putih, tetapi tukang masak Najib akan menyediakan kuinoa bila perdana menteri mahu makan lauk nasi kandar.

“Kami tak ada nasi kuinoa,” katanya.

“Tapi bila beliau datang untuk makan ‘nasi kandar,’ tukang masak perdana menteri akan sediakan nasi kuinoa untuk beliau.”

Pemiliknya Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa berkata, ada lonjakan pelanggan di kedainya sejak Najib menyebut tentang nasi kandarnya ketika mengadakan forum dalam talian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Februari, 2018.

Kuinoa atau tidak, restoran tetap terkenal

Penduduk tempatan menggelarkan restoran ini sebagai “Nasi Vanggey,” kerana “vanggey” dalam bahasa Tamil bermaksud “datang,” walaupun nama sebenar restoran ini adalah Nasi Kandar Ayam Merah.

Lawatan The Malaysian Insight mendapati restoran itu sangat padat dengan penggemar nasi kandar, selain ramai yang beratur untuk mendapatkan nasi kandar itu.

Bagi melayan pelanggan yang ramai, pemiliknya terpaksa membuka meja dan kerusi di lorong bersebelahan kedai.

Makanan terdiri dengan ayam, nasi kuah banjir dan timun potong berharga RM4.80. Dengan ayam harganya RM5.20, kambing RM5.70, sotong RM4.50 manakala lauk berdaging berharga RM4.70.

Muhamad Hafiz Taufiq, 25, dari Kampung Cempaka Sari, Ipoh berkata yang beliau akan datang ke restoran ini setiap bulan untuk menikmati lauk kegemarannya, yang mana beliau sendiri akui beliau “ketagih” dengan sajian di sini.

“Saya diperkenalkan oleh seorang kawan CIna. Sejak itu saya kerap datang ke sini sejak enam tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, pelajar universiti Fatin Najwa Nasharuddin, 20 yang datang dari Kuala Kangsar berkata, beliau dapat tahu mengenai restoran ini dan terus memandu ke Ipoh untuk mencuba sajian di sini.

“Makanannya sedap. Terutamanya ayam goreng dan makanannya murah. Saya cuma bayar RM5.50 sedangkan lauk yang sama di Kuala Kangsar herganya lebih daripada RM6.”

Restoran ini terletak di hujung deretan kedai pra-kolonial di Jalan Yang Kalsom yang turut berkongsi premis dengan Kedai Kopi Yong Suan.

Menurut pemilik restoran ini, dianggarkan setiap hari mereka melayan sekitar 800 sehingga 900 pelanggan. – 24 Februari, 2018.

Muhamad Hafiz Taufiq, 25, dari Kampung Cempaka Sari, Ipoh berkata yang beliau akan datang ke restoran ini setiap bulan untuk menikmati lauk kegemarannya, yang mana beliau sendiri akui beliau “ketagih” dengan sajian di sini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen