Skandal LCS, pengajaran buat yang berkuasa, kata pengerusi PAC


Raevathi Supramaniam

Wong berkongsi beberapa gambar ketika sesi lawatan tapak ke BNS di Lumut, Perak pada Disember tahun lalu di Facebooknya, hari ini. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2022.

SKANDAL kapal tempur pesisir (LCS) adalah ‘buku panduan’ terhadap bagaimana untuk tidak melaksanakan perolehan pertahanan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Koh Woh, hari ini.

Menyuarakan kekecewaan dan kesedihannya terhadap keadaan projek itu, Wong berkata ada sesuatu yang tidak kena melangkau salah urus.

“Kisah ngeri dalam seluruh proses projek LCS ini patut menjadi pengajaran kepada semua yang berkuasa hari ini dan akan datang.

“Ia lebih daripada salah urus. Lebih daripada pengurusan yang teruk. Ada benda yang tak kena dengan orang yang berkuasa dan mereka yang mendapat kontrak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wong yang melawat tapak LCS di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd’s (BNS) di Lumut, Perak pada 21 Disember tahun lalu berkata sangat menyedihkan apabila melihat keadaan kapal yang masih dalam pembinaan dan peralatan bernilai berbilion ringgit tersadai dalam stor simpanan.

“Kami diberitahu jumlah keseluruhan nilai peralatan dalam stor simpanan adalah RM1,757,791,266.02. Saya tanya BNS  berapa banyak yang sudah usang, jawapan diberi kira-kira 15% maksudnya kerugian sekitar RM263,668,689.90 loss,” kata Wong.

Laporan PAC mendapati BNS berhutang dengan pengeluar peralatan asal (OEM) RM801 juta dan RM956 juta lagi kepada bank.

Menurut Wong tapak pembinaan kapal tersebut juga didapati kosong tanpa pekerja

“Tiada lagi pekerja di tapak pembinaan, tiada pekerja tempatan dan tiada pekerja asing. Tiada kontraktor. Tiada lagi sebarang kerja dijalankan.

“Betul-betul kosong. Terhenti sepenuhnya. Memang menyedihkan sebab kita tahu RM6 bilion dah dibelanjakan,” katanya.

Minggu lalu PAC mendedahkan bahawa pihaknya menjalankan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 dan yang terakhir pada 8 Mac lepas dengan memanggil beberapa saksi dan hasil prosiding itu mendapati kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion namun tiada sebuah kapal LCS pun disiapkan setakat ini.

Mengikut jadual asal, sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Projek ini bermula ketika di bawah pemerintahan Najib Razak dan ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjawat sebagai Menteri Pertahanan. – 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen