Peguam negara ketuai jawatankuasa siasat insiden KLIA, kata Zuki


Elill Easwaran

Peguam Negara Idrus Harun akan mengetuai jawatankuasa menyiasat insiden membabitkan pegawai kerajaan dan Imigresen di KLIA baru-baru ini. – Gambar Facebook, 7 Ogos, 2022.

KETUA Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali mengumumkan Peguam Negara Idrus Harun akan mengetuai jawatankuasa yang dibentuk bagi menyiasat insiden membabitkan pegawai kanan kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata ahli jawatankuasa lain adalah Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Menurut Zuki, penemuan jawatankuasa itu akan dimajukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk pertimbangan selanjutnya.

“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Pada Rabu, seorang pegawai Imigresen di KLIA dikatakan dimaki di khalayak ramai oleh seorang pegawai tinggi kerajaan kerana tiada sesiapa berada di kaunter VIP ketika beliau tiba.

Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan tuduhan ketua pengarahnya mendera seorang pegawai Imigresen secara lisan di KLIA.

JPA berkata tuduhan itu tidak berasas dan berniat jahat serta bertujuan merosakkan imej pegawai kerajaan.

Ia berkata KP hanya menegur pegawai itu kerana tidak mematuhi prosedur bagi pelancong yang mahu ke luar negara.

Sementara itu, semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kerana beliau tidak mahu melihat perpecahan dalam kalangan penjawat kerajaan berikutan insiden itu.

“Kabinet bersetuju meminta ketua setiausaha kerajaan meneliti perkara itu dan menubuhkan jawatankuasa dalaman.

“Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak iaitu pengadu dan responden,” katanya. – 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen