Pegawai imigresen di KLIA ditegur sebab tidak buat kerja, kata JPA


JPA nafi ketua pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pegawai imigresen di KLIA semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan dakwaan ketua pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPA berkata tuduhan itu tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej pegawai kanan kerajaan.

“JPA memandang serius perkara ini dan ingin menegaskan bahawa segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan,” kata jabatan itu.

JPA juga menjelaskan ketua pengarahnya sebenarnya menegur pegawai imigresen itu kerana tidak mematuhi amalan dan prosedur semakan dokumen perjalanan di pintu keluar negara.

Menurut JPA, ketidakpatuhan itu kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” kata kenyataan itu.

JPA juga menjelaskan ketua pengarahnya tidak membuat teguran yang didakwa di khalayak ramai sebaliknya hanya menasihatkan pegawai berkenaan supaya patuh peraturan.

“JPA amat kesal dengan kenyataan palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru JPA ingin mengesyorkan supaya perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mengarahkan dakwaan kejadian di KLIA antara pegawai tinggi kerajaan dan pegawai imigresen disiasat.

Beliau juga sudah mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengenai kejadian yang maklumat awalnya tular di media sosial.

Dua kesatuan sekerja Jabatan Imigresen Malaysia juga semalam mengeluarkan kenyataan kesal akan kejadian yang berlaku.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Khairil Niza Khairudin berkata pegawai tertinggi kerajaan itu berkelakuan tidak profesional dan biadab.

Pegawai tinggi itu dikatakan marah kerana  tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA, pagi semalam.

Tetapi katanya pegawai Imigresen memang tidak ditempatkan 24 jam di bilik VIP itu melainkan ada keperluan dan pemakluman awal.

Khairil Niza mendakwa pegawai yang bertugas sebagai ketua operasi imigresen KLIA kemudian dipanggil dan ditengking, diherdik dan diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh ketua pengarah perkhidmatan awam.

“Kejadian ini amat mengguris hati pegawai Imigresen lain keseluruhannya,” katanya.

Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (PPImM) pula menegaskan kejadian itu tidak akan melemahkan semangat semua pegawai dan kakitangan Imigresen. β€“ 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen