BN goyah di Johor


Chan Kok Leong

Kedudukan BN-Umno di Johor dilaporkan tidak selamat apabila kajian mendedahkan 51% reponden mahukan parti lain mentadbir negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 24 Februari, 2018.

SEINGAT rakyat Malaysia, Johor memang sinonim dengan Umno/Barisan Nasional.

Tetapi, sinonim itu nampaknya bukan lagi satu kenyataan. Negeri selatan tanah air itu mungkin merupakan tempat lahir parti politik paling terkenal negara tetapi ikatannya sudahpun diputuskan apabila satu kajian terbaru menunjukkan lebih separuh penduduk Johor kini terbuka memilih muka baru untuk mentadbir negeri.

Dalam kajian dilakukan Merdeka Center for Opinion Research bulan lepas, 51% daripada 1,007 responden penduduk Johor mengatakan mereka akan memberi peluang kepada parti lain untuk menguruskan kerajaan negeri.

Pengundi Cina mempunyai peratusan tertinggi sebanyak 69% diikuti oleh India (50%) dan Melayu (39%).

Sentimen mempunyai parti lain untuk mentadbir Johor juga lebih kerap dikesan dalam kalangan penduduk Johor berpendapatan tinggi- >RM7,000 (65%) dan RM4,000- RM6,999 (67%).

Pandangan itu juga didapati wujud secara saksama dalam kalangan pengundi bandar dan luar bandar.

Kajian itu menunjukkan walaupun penduduk Johor menyokong Menteri Besar Khaled Nordin, mereka masih tidak berpuas hati dengan kos sara hidup dan cara negara ini ditadbir oleh kerajaan persekutuan.

Pendek kata, mereka tidak gembira dengan situasi ekonomi dan cara negara ini diurus oleh kerajaan BN menjadikan mereka lebih bersedia untuk memilih pihak bukan Umno/BN mentadbir kerajaan negeri.

Pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) meningkatkan tiga kali ganda kerusi di negeri itu daripada enam kepada 18. DAP adalah pemilik terbesar selepas merampas 13 kerusi negeri daripada parti komponen BN, MCA.

Dalam pilihan raya umum akan datang, Bersatu akan bertanding di 18 kerusi negeri, 16 daripadanya kini dipegang Umno. DAP pula akan bertanding di 14 kerusi dengan PKR dan Amanah akan bertanding di 12 kerusi.

Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi.

Terbuka untuk perubahan

Di Stulang Baru di sebelah Kg Melayu Majidee, warung-warung seperti Sebulong Corner sudah mula menganjurkan majlis DAP.

“Kami ada Adun Stulang Andrew (Chen Kah Eng) di sini minggu lepas untuk edarkan limau mandarin dan semuanya berjalan lancar,” kata penduduk tempatan dan pemilik Sebulong Corner, Roslan Adan.

Roslan, 59, yang mengambil alih perniagaan warung daripada ayahnya yang memulakan perniagaan itu 15 tahun lalu berkata dia mahu rakyat mendengar sisi lain cerita negara.

“Bertahun lamanya, kami hanya dapat versi cerita sebelah pihak sahaja di sini. Jadi saya memutuskan untuk beri peluang kepada pembangkang bertemu dengan penduduk tempatan di sini,” katanya.

Orang Melayu masih merasakan DAP dan pemimpinnya termasuklah Lim Kit Siang anti Islam dan Melayu, tetapi perubahan sentimen itu mula wujud terutama di kawasan bandar di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2018.

Menurutnya, orang pelbagai latar belakang datang ke warungnya, yang hanya beroperasi daripada jam tujuh hingga 11 pagi setiap hari. Dan walaupun membuka warungnya kepada pembangkang, perniagaan tidak terjejas.

“Selain penduduk kampung, pekerja kerajaan dan swasta pun datang ke sini setiap hari dan mereka lebih terbuka daripada apa yang rakyat percaya,” tambahnya.

Di sebuah meja di warung itu ada empat orang lelaki, seorang daripadanya adalah ahli lama PAS Rosli Kemim, pesara tentera laut Hj Abdul Wahab Hj Abdullah dan dua lagi ahli Umno.

Rosli yang mempunyai 12 orang anak dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan berkata secara umumnya orang Melayu masih takutkan DAP kerana media menggambarkan mereka sebagai anti Islam dan pelampau Cina.

“Tetapi ini kawasan bandar dan kami dapat maklumat lebih baik dengan membaca portal berita berbeza. Jadi kami berbeza.”

Orang Melayu tak perlukan Umno

Rosli mengatakan idea yang hanya pemimpin Melayu boleh melindungi orang Melayu adalah salah.

“Kawasan in ada ramai setinggan Melayu yang duduk di sini hampir 50 tahun tetapi apa yang Ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad buat untuk mereka? Walaupun jadi wakil rakyat kami untuk tujuh penggal, setinggan itu masih tiada geran tanah,” tambahnya.

Pemilik Sebulong Corner Roslan Adan (kanan) dan adik lelakinya di warung milik keluarga, tempat politikus pembangkang dan kerajaan bertemu di Kg Melayu Majidee, Johor. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Februari, 2018.

Lelaki paling berumur di meja itu, Abdul Wahab, 78, berkata Umno merasakan orang Melayu perlukan mereka.

“Tetapi sebenarnya Umno yang perlukan Melayu untuk survive, kata bekas setiausaha cawangan Umno Stulang Baru itu.

Abdul Wahab yang menyertai Umno pada 1956 berkata dia sudah bosan dengan sistem sedia ada yang tidak ada semak dan imbang.

“Saya mula berkempen untuk Shahrir bila dia bertanding di kerusi JB pada 1979 malah ikut dia masuk Semangat 4 tetapi saya tak akan undi dia lagi. Dia masih kawan saya tetapi partinya teruk dan negara perlukan perubahan,” katanya.

Dalam kajian itu, 21% penduduk Johor mengatakan Pakatan Harapan mampu melindungi kepentingan Melayu dan bukan Melayu, 20% lagi merasakan pembangkang mempunyai pemimpin berpengalaman.

Seorang lagi ahli Umno yang enggan dinamakan, mengatakan dia juga tidak akan mengundi parti utama orang Melayu itu kerana tidak berpuas hati dengan kos sara hidup dan dakwaan korupsi terhadap pemimpinnya. – 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kami tidak mau handouts yg melemahkan kita, kita mau perlajaran, kemahiran dan lebih banyak peluang kerja dan kita boleh terus berjuang untuk jadi kuat sendiri.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • betul ke BN goyah di Johor? selagi tak dijalankan pru14 ni. selagi tu kita tak tahu sejauh mana kebenarannya. bila dah bubar parlimen baru kita akan nampak. setakat ni kita hanya boleh kata melalui statistik yang ada. keadaan sebenar nanti yang akan menentukan. walaubagaimanapun, saya yakin, BN mampu menang di Johor.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

    • Maka jadi lah macam katak dibawah tempurung. gelap gelita diselubungi kemerlapan malam.

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohd yusoff Alias · Ulasan

    • Maka jadi lah macam katak dibawah tempurung. gelap gelita diselubungi kemerlapan malam.

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohd yusoff Alias · Ulasan

  • Saya amat mengalu-alukan perubahan sikap penduduk Johor terhadap parti pembangkang. Minda terbuka terhadap pembangkang sebenarnya adalah satu kemajuan fikiran masyarakat Malaysia.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Saham san · Ulasan