Salahkan Pakatan projek LCS lewat, kata Najib


Raevathi Supramaniam

PH dikatakan menjalankan beberapa kali siasatan sebelum akhirnya membekukan projek tersebut. – Gambar Facebook, 6 Ogos, 2022.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang perlu dipersalahkan berhubung kelewatan penghantaran Kapal Tempur Littoral (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata Najib Razak hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga tersilap mengenai tarikh projek itu ditandatangani.

“PH menangguhkan projek LCS pada 2018, dan membekukannya pada 2019 dan kini mereka bertanya mengapa tiada kapal diserahkan pada 2022,” kata Najib dalam satu kenyataan.

“Kontrak projek LCS hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014 dan untuk kapal pertama disiapkan pada April 2019 - bukan projek diberi pada 2011 (masa itu cuma surat anugerah ataupun letter of award bukan kontrak) dan kapal pertama bukan perlu diserahkan pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata projek yang bermula semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan semasa beliau masih perdana menteri dan menteri kewangan itu telah dibekukan oleh PH.

Selepas PH memenangi pilihan raya pada 2018, Najib berkata Pakatan telah menunda projek itu sebelum akhirnya dibekukan pada 2019.

“Bermaksud projek masih dimajukan masa BN tetapi telah diperlambatkan kerajaan PH selepas PRU14 pada tahun 2018 dan dibekukan sepenuhnya pada tahun 2019 di mana kapal pertama dijadualkan untuk diserah.

“Pandemik pula menimpa pada tahun 2020 dan 2021. Akhirnya projek baharu dipersetujui untuk disambung pada bulan April 2022. Jadi bagaimana pula kapal-kapal boleh siap?,” tanyanya.

Menurutnya, projek tersebut telah disiasat PH berkali-kali termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jadi, kenapa pula saya disalahkan pihak sebelah sana sedangkan ianya telah disiasat berkali-kali oleh PH dan saya tidak pernah dituduh sebagai suspek atau pernah disuruh untuk menghadap PAC?,” katanya lagi.

Beliau turut menepis cadangan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan PH  untuk menghentikan projek tersebut

“Pembinaan kapal perang adalah projek besar yang kompleks dan juga mengambil tempoh masa yang lama. Sebab itu kelewatan dan kenaikan kos mampu berlaku - terutama sekali apabila kos-kos bahan pembinaan naik.

“Jadi, jalan terbaik ialah menilai semula, mengawal kos juga kemajuan projek dengan lebih teliti agar kapal dapat dibina dan diserahkan sempenuhnya. Selain juga agar kepakaran ini tetap berada dalam industri tempatan supaya kapal-kapal seterusnya akan mampu dibina dengan lebih cekap dan kos penyelenggaraan adalah lebih rendah.

“Bukan hentikan projek seperti dicadang Anwar/PH ataupun dijadikan modal PRU15,” katanya.

Projek bernilai RM9 bilion itu dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), syarikat bersekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) pada tahun 2011 namun sehingga kini tiada sebarang kapal LCS berjaya disiapkan.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kerajaan gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut. – 6 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen