Pelbagai usaha perangi pemerdagangan orang, kata Hamzah


Chan Kok Leong

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan menjalankan pelbagai program untuk mencegah pemerdagangan orang dan meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2022.   

KEMENTERIAN Dalam Negeri membentangkan laporannya di Parlimen mengenai usaha yang dilakukan untuk menaikkan kedudukan negara selepas Amerika Syarikat mengekalkan Malaysia dalam Tahap 3 Laporan Pemerdagangan Orang 2022 (USTIP) ketika lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi hari ini.

Dalam laporan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin (Larut-PN) memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk mencegah pemerdagangan orang dan meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).

“Kerajaan telah menjalankan program supaya pihak berkepentingan - badan kehakiman, pendakwaan dan penguatkuasaan - dapat memahami pindaan terkini,” kata Hamzah.

Beliau berkata kerajaan juga sedang dalam usaha menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi perlindungan orang yang diperdagangkan dan telah melancarkan pelan nasional untuk menangani isu buruh paksa.

“Laporan ini bertujuan untuk menjelaskan inisiatif kerajaan dalam subjek pemerdagangan manusia dan telah pun dikongsi dengan Kedutaan AS pada 1 April,” kata menteri itu.

Hamzah bagaimanapun tidak menangani beberapa isu yang diketengahkan dalam laporan USTIP mengenai kekurangan pendakwaan terhadap pegawai kerajaan yang korup.

Dalam perbahasan itu, Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar-PH) berkata, sudah tiba masanya kerajaan berhenti melindungi pegawai yang korup.

“Sudah tiba masanya untuk kita bertanya mengapa kita tidak mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang korup. Ini rasuah sistemik,” kata ahli politik Amanah itu.

Beliau menggesa Hamzah untuk memberitahu Parlimen berapa ramai pegawai kerajaan telah didakwa sejak Malaysia diletakkan di Tahap 3 dalam senarai pemerdagangan manusia AS.

Sementara itu Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-BN) berkata kerajaan mesti melihat cara ia membawa masuk pekerja asing melalui Kementerian Dalam Negeri.

“Saya duduk dalam jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai hak asasi manusia dan kami percaya bahawa sistem pekerja asing adalah sebab kita diletakkan di Tahap 3,” kata bekas menteri itu.

Sementara itu, peguam bela isu buruh Charles Santiago (Klang-PH) turut mempersoalkan menteri berkenaan mengenai isu rasuah dalam kerajaan dan pertikaian dengan Indonesia baru-baru ini berhubung sistem pembantu rumah dalam talian yang digunakan Malaysia.

“Mengapa kerajaan menggunakan sistem dalam talian pembantu rumah walaupun membenarkan pemerdagangan manusia? Ini berlaku dalam kementerian menteri,” kata Santiago.

Untuk tahun kedua berturut-turut, Malaysia akan kekal dalam Tahap 3 Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2022, setelah gagal memenuhi piawaian minimum dalam usahanya untuk menghapuskan pemerdagangan orang.

Malaysia berada dalam kumpulan 21 negara lain termasuk Afghanistan, China, Syria, Sudan Selatan dan Venezuela.

Menurut laporan USTIP 2022, polis telah menahan enam pegawai kerana terlibat dalam jenayah pemerdagangan, tetapi ia tidak melaporkan butiran kes ini.

“Jabatan imigresen secara berasingan menahan 40 pegawai atas tuduhan berkaitan pemerdagangan, tetapi kerajaan tidak mendakwa mereka; ia menurunkan pangkat atau memecat 29 pegawai ini daripada pekerjaan mereka sementara ia terus menyiasat 11 daripada mereka pada akhir tempoh pelaporan.”– 2 Ogos, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen