PERBICARAAN kes ahli perniagaan terkenal SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi yang dijadualkan hari ini di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, ditangguhkan ke 8 September.
Majistret Nadia Othman menetapkan 8 September untuk menyambung perbicaraan selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memaklumkan bahawa pihak-pihak telah bersetuju supaya tarikh baharu ditetapkan.
“Tarikh-tarikh yang dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pembelaan ialah pada 8, 12 dan 14 September; 14 dan 26 Oktober serta 17 dan 18 November,” kata Nur Aishah.
Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal mengesahkan perkara itu.
Ketika ditemui media di luar mahkamah, Nur Aishah berkata sepatutnya perbicaraan diteruskan dengan saksi pendakwaan pertama iaitu anak lelaki kepada SM Faisal dan Emilia, yang berusia 15 tahun menyambung keterangannya hari ini dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
“Bagaimanapun, perbicaraan hari ini dilapangkan berikutan majistret yang mendengar kes ini berdepan dengan hal kecemasan,” kata Nur Aishah.
SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 2 Ogos, 2022.
Komen