Emilia takut, menangis dan mengadu SM Faisal memukulnya, kata saksi


SEORANG anggota polis peronda memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bekas isteri SM Faisal SM Nasimuddin dilihat berada dalam keadaan ketakutan, menangis dan mengadu ahli perniagaan itu memukulnya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas yang didiami oleh pasangan itu tujuh tahun lalu.

Saleh Omar Osman, 43, dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berkata pada 22 November 2015, beliau menerima panggilan dari pusat kawalan yang menyatakan ada pergaduhan di rumah itu dan terus bergerak ke lokasi itu bersama rakan setugasnya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata, sebaik tiba di rumah itu, pintu pagar sudah terbuka dan beliau melihat seorang lelaki berdiri di kawasan parkir serta membenarkan mereka masuk.

“Rakan setugas saya bertanya kepada lelaki itu ‘ada apa-apa masalah ke encik’ dan lelaki itu menjawab ‘tiada apa-apa.’ Selepas itu, seorang perempuan keluar dari rumah itu dan menunjukkan kepada saya tangannya lebam kerana dipukul. Saya juga nampak kesan lebam di mukanya.

“Mangsa berada dalam ketakutan, menangis dan mengadu suaminya (sambil menunjukkan kepada lelaki itu) memukulnya. Lelaki itu hanya berdiam diri,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa mencederakan Emilia Hanafi.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, saksi itu mengenal pasti lelaki yang berdiri di kawasan parkir adalah SM Faisal.

Menurut Saleh, beliau kemudian meminta mangsa membuat laporan di balai polis Sri Hartamas.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader, saksi itu bersetuju beliau tidak menangkap SM Faisal meskipun mempunyai kuasa untuk menahan mana-mana suspek yang disyaki melakukan jenayah.

Akberdin: Saya katakan kepada kamu Sarjan, kamu tidak menangkap dia walaupun kamu melihat mata dan tangan wanita itu lebam kerana kamu telah membuat keputusan itu adalah masalah rumah tangga antara lelaki dan wanita, sebab itu kamu tidak menangkap atau menahan suspek tersebut.

Saleh: Ya, setuju.

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam pada hari kejadian, SM Faisal ada memberitahunya dia telah diserang oleh isterinya dan terpaksa mempertahankan diri menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

SM Faisal, 43, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang juga isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung esok. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen