Pasaran hartanah terjejas kerana inflasi, ketidaktentuan ekonomi, kata pakar


Khoo Gek San

Pakar berkata, memandangkan banyak diskaun untuk pemilik rumah kali pertama, mereka lebih suka membeli hartanah baharu daripada menjual semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

PEMBELI rumah dihimpit isu kemampuan, ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman, jaminan pekerjaan dan ketidakstabilan ekonomi secara keseluruhan ketika mahu membeli rumah, kata pakar.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Chan Ai Cheng berkata faktor itu membelenggu pasaran sekalipun terdapat sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.

Bagi harga sewa pula, ia kekal stabil manakala pembelian hartanah baharu meningkat.

“Memandangkan terdapat begitu banyak diskaun untuk pemilik rumah kali pertama, mereka lebih suka membeli hartanah baharu daripada menjual semula supaya mereka boleh mengelak daripada membayar wang muka,” kata Chan.

Bagaimanapun, trend itu juga menunjukkan kuasa beli orang ramai menurun, menyebabkan lebih ramai orang menyewa dan bukannya membeli, katanya.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, setiap orang tertekan. Walaupun menyewa, keadaan rumah bergantung kepada budi bicara tuan rumah.”

Chan berkata, ejen hartanah menyedari pemilik tidak bersedia untuk mengubah suai rumah mereka atau menawarkan penyewa perabot lama mereka.

“Sekiranya pemilik mengubah suai dan menyediakan kelengkapan perabot rumah sepenuhnya, orang ramai akan bergegas untuk menyewanya. Mereka yang tidak mahu berbuat demikian mungkin melihat rumah mereka berada dalam pasaran sewa selama enam bulan tanpa pembeli,” kata Chan.

Data Property Guru menunjukkan Indeks Harga Sewa menyaksikan peningkatan sebanyak 1.22% pada suku pertama 2022, disertai kenaikan 1.96% tahun ke tahun.

Selaras dengan ini, Indeks Bekalan Sewa juga mencatatkan peningkatan sebanyak 1.68% suku ke suku dan 1.15% tahun ke tahun pada suku pertama tahun ini. Ia mencerminkan aliran menaik untuk hartanah sewa, yang disebabkan oleh peningkatan permintaan yang ketara.

Indeks Permintaan Sewa menyaksikan peningkatan 4.62% suku ke suku dalam permintaan dalam kalangan pencari rumah pada suku pertama 2022. Dari perspektif tahunan, peningkatan itu lebih ketara dengan kenaikan besar-besaran 93.27% tahun ke tahun dalam permintaan sewa.

Bagi pasaran hartanah komersial, Chan berkata pasaran sewa dalam segmen itu adalah perlahan.

Selepas pandemik, banyak perniagaan kini menilai semula keperluan untuk mempunyai pejabat dalam usaha untuk menjimatkan wang, kata Chan.

“Banyak perniagaan akan memikirkan bagaimana untuk menjimatkan sewa. Sebagai contoh, mereka boleh mempunyai 10 cawangan sebelum ini, tetapi kini hanya terdapat lima. Mereka boleh bertukar kepada bekerja dalam talian tanpa memerlukan lebih banyak ruang pejabat.”

Ketua Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Divisyen Cina Tan Chong Leng menasihatkan orang ramai untuk menyewa dahulu jika mereka tidak mempunyai rancangan yang baik untuk membeli hartanah.

“Mereka hanya perlu berbuat demikian apabila mereka mempunyai kemampuan kewangan. Jika tidak, mereka mungkin menghadapi masalah untuk membayar gadai janji.

“Itu boleh menyebabkan rumah mereka dilelong atau lebih teruk, mereka mungkin disaman oleh pemaju dan akhirnya memfailkan muflis,” kata Tan.

Data Property Guru menunjukkan Indeks Harga Sewa menyaksikan peningkatan sebanyak 1.22% pada suku pertama 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

Kehidupan KL cetus tekanan buat orang muda

Jason Mok, 24, berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian dua tahun lalu dengan harapan untuk membeli hartanah di bandar raya.

Dua tahun kemudian dan dengan apa yang diperolehnya, Mok hanya mampu membayar makanan, pakaian, sewa, simpanan dan duit kecemasan.

“Asalnya saya menyewa bilik kecil dengan harga RM400. Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), saya tidak mempunyai pendapatan selama tiga bulan jadi apa sahaja wang yang saya ada hanya cukup untuk sewa dan makanan.”

Walaupun dia boleh menjimatkan wang dari segi makanan, pakaian dan perumahan, bergerak di sekitar bandar raya bermakna dia perlu mengeluarkan wang untuk minyak, tol dan tempat letak kereta.

Selepas PKP berakhir, pendapatannya dikurangkan sebanyak 20% tetapi kos sara hidup meningkat dengan ketara.

“Persekitaran di tempat saya menyewa sekarang tidak baik, tetapi saya tidak mempunyai wang untuk berpindah ke tempat baharu,” kata Mok.

Alwi, seorang penunggang e-hailing dan penghantar makanan di Kuala Lumpur berkongsi dia boleh memperoleh RM3,000 sebulan tetapi kos sara hidupnya meningkat.

“Saya menyewa bilik RM380 dan memberi keluarga RM1,000 sebulan. Kini, saya hanya mampu memberi mereka RM800,” kata Alwi.

Alwi berkata, dia memikirkan untuk meninggalkan Kuala Lumpur tetapi tidak mendapat pekerjaan yang stabil.

Menurut Tinjauan Pasaran Modal Belia 2020 oleh Suruhanjaya Sekuriti, majoriti pendapatan belia Malaysia dibelanjakan untuk makanan, perbelanjaan isi rumah dan pembayaran balik hutang menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak baki untuk simpanan atau pelaburan.

Membina kekayaan dan pelaburan hanya menjadi keutamaan untuk satu pertiga daripada populasi sampel.

Selainnya melihat mempunyai dana kecemasan, simpanan untuk menyara keluarga dan membayar hutang sebagai keutamaan mereka.

Oleh itu, responden akan menggunakan pendapatan mereka untuk dana kecemasan dan simpanan lebih awal dalam hidup dan hanya akan menumpukan kepada persaraan pada kemudian hari. – 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen