PERUNTUKAN mengenai penguatkuasaan dalam rang undang-undang (RUU) generasi penamat tembakau boleh disalah guna terutamanya apabila pesalah di bawah umur, kata jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai wanita dan kanak-kanak.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said berkata, peruntukan ini membabitkan kuasa menteri untuk melantik pegawai penguat kuasa dan skop kerja mereka termasuk memasuki premis, mengumpul sampel, menangkap pesalah dan membuat rampasan, walaupun tanpa waran.
“Jawatankuasa ini bimbang klausa mengenai penguatkuasaan RUU ini boleh disalah guna dan salah tafsir hukuman yang akan berakhir dengan tidak seimbang dengan kesalahan itu.
“Jawatankuasa bimbang kerana penguatkuasaan RUU ini akan membabitkan golongan bawah umur dan perlu ada pegawai terlatih yang memahami sensitiviti ketika mengendalikan kanak-kanak, selaras dengan piawaian antarabangsa.”
Kenyataan itu, oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, ditandatangani oleh Azalina dan lapan ahli bi-partisannya.
RUU generasi penamat tembakau, secara rasmi dipanggil RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022, dibentangkan di Parlimen bagi bacaan kali pertama awal minggu ini.
Jawatankuasa itu berkata, ia bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam memperhalusi rang undang-undang dengan mengambil kira hak kanak-kanak sebelum bacaan kali kedua.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin awal hari ini menjawab kebimbangan lain mengenai RUU itu terutama bagi pesalah juvana, dengan mengatakan mereka akan terhindar daripada hukuman penjara dan rekod jenayah.
RUU itu melarang penjualan rokok dan produk vape kepada sesiapa yang lahir mulai 1 Januari 2007. β 30 Julai, 2022.
Komen