Pesalah generasi penamat rokok tidak akan dipenjarakan, kata KJ


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pesalah generasi penamat rokok seperti dicadangkan dalam RUU kawalan tembakau tidak akan dikenakan penjara mahupun direkodkan sebagai kesalahan jenayah. – Gambar EPA, 30 Julai, 2022.

INDIVIDU yang tidak boleh membeli rokok dan vape di bawah pelaksanaan generasi penamat (GEG) tembakau tidak akan dipenjarakan atau direkodkan sebagai jenayah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Melalui video TikTok dikongsi di Twitter, beliau berkata pesalah hanya akan diberi kompaun maksimum sebanyak RM50 sahaja.

“Itu pun boleh mohon untuk potongan diskaun.

“Ia juga bukan suatu kesalahan yang boleh daftar di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

“Oleh itu, tidak berbangkit isu rekod kesalahan yang melibatkan golongan GEG. Tiada rekod jenayah atau penjara untuk pesalah GEG. Mari kita luluskan rang undang-undang (RUU) ini,” katanya.

Pelaksanaan GEG dicadangkan dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang masih dalam pembentangan di Dewan Rakyat oleh Khairy.

Kenyataan ahli Parlimen Rambau itu dibuat selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Teknologi Parlimen menggesa penangguhan RUU itu yang jika dilaksana akan melibatkan generasi yang lahir bermula 1 Januari 2007.

Pengerusi jawatankuasa Dr Kelvin Yii berkata ini akan memberi masa kepada kerajaan untuk menambah baik lagi rangka kerja penguatkuasaannya, kerana pada masa ini ia mengandungi beberapa peruntukan yang difikirkan pengkritik terlalu keras dan tidak adil terutama bagi pesalah dan juvana berpendapatan rendah.

Ini termasuk pemenjaraan dan pemeriksaan badan, yang mana jawatankuasa itu bimbang boleh disalahgunakan oleh pegawai penguatkuasa undang-undang.

Denda yang ditetapkan ialah RM5,000 jika seseorang yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007 didapati membeli, merokok atau memiliki produk tembakau dan vape.

Khairy turut menafikan yang RUU itu akan mengundang penyeludupan dan penjualan rokok haram.

“Lambakan rokok tidak sah sememangnya isu yang sedang ditangani oleh kerajaan Malaysia. Benda ini bukanlah benda yang baru. Dah lama berlaku.

“Kita akan kejar pasaran haram dengan lebih tegas dan dengan sumber serta penyelarasan yang lebih bagus.

“Secara logiknya, ia akan membantu mengurangkan permintaan kepada bekalan produk rokok ini, susulan menurunnya peratus perokok dalam kalangan GEG.

“Pasaran akan makin mengecil. Apabila kurang orang merokok, berkuranglah rokok di pasaran, sama ada rokok haram atau sah,” katanya.

RUU itu pada mulanya akan dilaksanakan ke atas mereka yang lahir selepas 2005 tetapi kemudian KKM mengemas kini kepada 2007, untuk menambah baik pendidikan terhadap masyarakat, pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Selain denda RM5,000 untuk pembeli dan pengguna individu, mereka yang ditangkap menjual kepada pembeli yang lahir bermula 1 Januari 2007, boleh didenda sehingga RM20,000 dan/atau penjara sehingga setahun untuk kesalahan pertama, dan untuk kesalahan berikutnya, didenda sehingga RM30,000 dan/atau penjara sehingga dua tahun. – 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen