MCA lantik 30 penyelaras di Pulau Pinang, siap hadapi PRU15


Khoo Gek San

MCA menyasarkan 40% pengundi di Pulau Pinang akan beralih arah pada PRU15 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

MCA melantik 30 penyelaras di Pulau Pinang – lapan di kawasan Parlimen dan 22 lagi di kerusi dewan undangan negeri (DUN) – untuk turun padang dan membina rangkaian perkhidmatan ketika parti Cina itu menggerakan sumber mereka bagi membantu Barisan Nasional (BN) meraih semula kuasa pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng berkata 80% daripada mereka adalah wajah baharu, menambah penyelaras berkenaan tidak semestinya akan dipilih sebagai calon BN pada PRU15.

Tan yang juga naib presiden MCA berkata peruntukan kerusi masih belum diputuskan oleh BN.

Pada PRU14, MCA menerima agihan 10 kerusi sementara Gerakan, satu lagi parti komponen BN di Pulau Pinang pada masa itu, diberikan 13 kerusi.

Tan berkata matlamat utama penyelaras ialah berkhidmat kepada rakyat di pelbagai kawasan dan membina hubungan dengan pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kalinya.

Beliau berkata jika ada antara penyelaras berkenaan dipilih sebagai calon oleh kepimpinan BN, maka kerja mereka lebih mudah kerana mereka sudah dikenali dalam kalangan pengundi.

Semua 30 penyelaras itu dikatakan kebanyakannya lepasan universiti dan profesional. Daripada lapan yang dipilih ke kawasan Parlimen, seorang ada lulusan PhD, seorang sarjana sementara empat yang lain ijazah sarjana muda. Seorang peguam dan seorang lagi jurutera kanan.

Daripada 22 yang dilantik ke kawasan DUN, tiga daripadanya lulusan PhD, dua mempunyai sarjana, sembilan lepasan ijazah sarjana muda sementara empat lepasan diploma. Antara mereka ada yang profesional, termasuk seorang jurutera dan tiga peguam.

Kebanyakannya di bawah usia 45 tahun, dan sedikit saja berusia atas 50 tahun.

Tan berkata melantik wajah baharu dalam dunia politik sebagai penyelaras adalah langkah berani MCA yang turut menunjukkan perubahan parti selepas tewas teruk pada PRU14.

Katanya, selain daripada pendidikan yang bagus, penyelaras berkenaan juga perlu mahir tiga bahasa.

Beliau berkata semua penyelaras itu diwajibkan lulus ujian bahasa yang dijalankan di ibu pejabat MCA.

“Kemampuan mereka untuk memimpin perlu dinilai dan adakah mereka memenuhi kriteria sebagai calon.

“Semua undi penting. Kita tidak lagi boleh andaikan undi Cina akan automatik pergi pada MCA atau sama juga, undi India kepada MIC.”

Pulau Pinang terdiri daripada 13 kerusi Parlimen dan 40 DUN.

Pada PRU lalu, Umno bertanding di lima kerusi Parlimen, sementara MCA dan Gerakan masing-masing empat kerusi.

Di 40 kerusi DUN, Umno bertanding 15, MCA 13, Gerakan 10 sementara MIC bertanding hanya dua kerusi.

Sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU14, BN memegang 37 kerusi di negeri itu.

Tan berkata pada PRU15, jumlah pengundi baharu di Pulau Pinang berjumlah 270,000.

Tambahan itu ialah bagi pengundi yang berdaftar mengikut pelaksanaan pendaftaran automatik selain pengundi Undi18.

Tan berkata kaji selidik menunjukkan pengundi muda lebih berminat dengan kesejahteraan ekonomi negara dan bosan dnegan politik kebencian dan kaum.

“Mereka juga tidak suka bila ahli politik bergaduh berebut jawatan.

“Saya juga difahamkan sesetengah orang muda terpengaruh dengan ibu bapa mereka tentang bagaimana atau siapa patut mereka undi.

“Tetapi saya percaya belia zaman ini boleh buat keputusan sendiri. Mereka ada idea sendiri.

“Mereka kini ada akses kepada banyak maklumat. Jadi, terpulang kepada parti politik dan MCA, bagaimana mereka meletakkan diri untuk menarik pengundi muda menyokong mereka,” katanya.

Tan memberi contoh keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata kajian BN menunjukkan pengundi muda kali pertama biasanya akan menyokong gabungan pembangkang dan itu sebabnya BN menang PRN.

Bagaimanapun katanya, walaupun BN menang dan melonjakkan peluang mereka pada PRU akan datang, senario mungkin berebza bagi Pulau Pinang di mana majoriti pengundi adalah Cina.

“Johor beri maklum balas yang baik tetapi situasi di Pulau Pinang berbeza berbanding negeri lain di mana pengundi Cina ada jangkaan yang tinggi.”

Tan berkata peluang MCA untuk berjaya di Pulau Pinang pada PRU15 lebih cerah kerana dakwanya “pengundi Cina tidak lagi menyokong DAP seperti pada PRU 2018”.

“Pengundi lebih cenderung kepada wakil rakyat yang memberi khidmat. Kami pernah tanya orang ramai yang datang minta tolong kepada MCA, mengapa mereka tidak minta bantuan wakil rakyat kawasan berkenaan, ada yang beritahu YB hanya suruh dia pergi ke jabatan berkenaan dan selesaikan sendiri masalah.

“Ia tidak sama seperti pusat khidmat setempat MCA untuk membantu selesaikan masalah rakyat,” katanya.

“Matlamat utama kami ialah menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan untuk rakyat.

“Kami dapati golongan kelas pertengahan atas dan ahli perniagaan sudah nampak wajah sebenar Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan mereka mentadbir.

“Mereka sudah mula mengubah tanggapan terhadap MCA.”

Tan berkata MCA pada PRU15 nanti menyasarkan 40% pengundi yang dianggap akan beralih arah.

Katanya, tidak mustahil BN akan merampas semula kuasa di Pulau Pinang dan optismistik ia akan meraih sokongan pengundi. – 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen