Credit Suisse lantik CEO baharu susulan kerugian semakin besar


Ketua Eksekutif Credit Suisse, Thomas Gottstein berkata tempat beliau akan digantikan Ketua Pengurusan Aset Ulrich Koerner, berkuat kuasa 1 Ogos. – Gambar EPA, 27 Julai, 2022.

GERGASI perbankan Switzerland yang terpalit dengan skandal, Credit Suisse melantik ketua eksekutif baharu susulan kos litigasi lebih tinggi, kadar turun naik pasaran kewangan dan peningkatan kadar faedah di seluruh dunia.

Ini sekali gus mendorong firma perbankan itu mengambil langkah berwaspada pada suku kedua.

“Prestasi untuk suku kedua 2022 kami mengecewakan, terutamanya dalam bahagian pelaburan, dan turut dipengaruhi peruntukan litigasi yang lebih tinggi serta item pelarasan lain,” kata ketua eksekutif, Thomas Gottstein dalam satu kenyataan.

“Prestasi bank itu terjejas teruk akibat beberapa faktor luaran, termasuk geopolitik, makroekonomi dan tekanan pasaran,” kata Gottstein yang pada masa yang sama mengumumkan peletakan jawatannya menerajui bank kedua terbesar Switzerland itu.

“Hari ini menandakan perubahan kepimpinan untuk Credit Suisse,” kata Gottstein yang menyertai lembaga eksekutif pada 2015 dan dilantik sebagai CEO pada 2020.

“Ia adalah satu keistimewaan dan penghormatan mutlak untuk berkhidmat dengan Credit Suisse sejak 23 tahun lalu.”

Gottstein akan digantikan oleh Ketua Pengurusan Aset, Ulrich Koerner, berkuat kuasa 1 Ogos.

Berdasarkan prestasi suku tahunannya, Credit Suisse mencatatkan kerugian bersih sebanyak 1.593 bilion franc Swiss (AS$1.65 bilion) dalam tempoh dari April hingga Jun, lebih besar berbanding kerugian 273 juta franc dalam tiga bulan sebelumnya dan turun daripada keuntungan bersih sebanyak 253 juta franc pada suku kedua 2021.

“Seperti yang dinyatakan dalam kemas kini dagangan kami pada 8 Jun, suku kedua ditandai dengan keadaan ekonomi dan pasaran mencabar,” kata bank itu.

“Gabungan situasi geopolitik semasa berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan pengetatan dasar monetari yang ketara oleh bank pusat utama berikutan peningkatan kadar inflasi sekali gus mengakibatkan ketidaktentuan pasaran, kelemahan aliran pelanggan dan bayaran balik pelanggan berterusan,” katanya.

Menurut Credit Suisse, bank itu menjangkakan keadaan pasaran semasa “berterusan untuk beberapa bulan akan datang”.

Dagangan setakat ini pada suku ketiga “ditandai dengan kelemahan berterusan dalam aktiviti pelanggan, memburukkan lagi penurunan bermusim biasa”, katanya. – AFP, 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen