Kumpulan peguam gesa inkues 300 kematian tahanan di depoh imigresen


Pendedahan mengejutkan mengenai jumlah kematian tahanan di depoh imigresen perlukan penjelasan dan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2022.

PUTRAJAYA perlu menjalankan inkues berhubung kematian hampir 300 tahanan imigresen termasuk enam kanak-kanak di depoh imigresen seluruh negara mulai 2020, kata Lawyers for Liberty.

Zaid Malek, pengarah kumpulan advokasi hak undang-undang, melahirkan rasa terkejut dengan angka yang didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin di Parlimen, dan menyelar ahli Parlimen Bersatu itu kerana tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai kematian itu.

“Pendedahan ini mengejutkan, mengganggu dan menimbulkan persoalan serius. Mengapa begitu ramai yang meninggal dunia? Terutamanya, mengapa 6 kanak-kanak meninggal dunia?”

“Sungguh luar biasa, tiada penjelasan diberikan oleh menteri bagi kematian ini.

“Menteri bersikap seolah-olah kematian seperti itu adalah rutin dan tidak memerlukan penjelasan kepada orang ramai serta keluarga mangsa atau negara mereka,” kata Zaid.

“Kami menggesa kerajaan memulakan siasatan awam yang menyeluruh mengenai kematian di Depoh Imigresen dan mengambil semua dasar atau tindakan undang-undang yang diperlukan untuk mengelak lagi kematian yang menyalahi undang-undang atau tidak perlu di pusat tahanan.”

“Tahanan imigresen adalah tanggungjawab negara dan mesti dilayan mengikut undang-undang, berperikemanusiaan dan norma antarabangsa,” kata peguam hak asasi manusia itu.

Pada Rabu, Hamzah berkata dari 2020 hingga 12 Julai 2022, terdapat 298 kematian membabitkan 258 tahanan lelaki, 34 tahanan wanita dan enam tahanan kanak-kanak lelaki di depoh imigresen.

Majoriti kematian melibatkan warga Indonesia dan Filipina.

Sebelum kenyataannya, Hamzah juga memperkecilkan kematian warga asing di depoh imigresen Sabah dengan berkata orang ramai tidak boleh terlalu cepat menuding jari kepada pihak berkuasa.

“Jika kita menahan seseorang, itu bermakna mereka melakukan jenayah. Apabila seseorang melakukan jenayah, mereka perlu melalui proses undang-undang sedia ada.”

“Jika saya tahu seseorang akan mati dan (oleh itu) tidak sepatutnya ditempatkan di depoh (imigresen), saya akan menjadi hebat.

“Kadang-kadang orang mati walaupun semasa berjalan… Mereka tidak perlu berada di depoh. Jadi, ini tidak sepatutnya menjadi isu,” katanya ketika itu.

Zaid berkata menjadi suatu kebimbangan walaupun ratusan kematian di depoh imigresen dalam tempoh yang singkat, tiada satu pun prosiding inkues dimulakan berhubung perkara itu. 

“Apakah punca kematian? Adakah majistret tempatan dimaklumkan, dan jika tidak, mengapa? Adakah pihak berkuasa tidak berminat untuk mengetahuinya?”

“Berdasarkan Seksyen 329 dan 330 Kanun Prosedur Jenayah adalah menjadi tugas polis menyiasat kematian ini dan mengarahkan pemeriksaan bedah siasat. Adakah ini dilakukan?” tanya Zaid.

Beliau menegaskan kematian dalam tahanan adalah perkara serius dan tidak boleh diabaikan begitu sahaja tanpa siasatan sewajarnya.

“Lebih-lebih lagi jika kematian mencecah ratusan orang,” kata Zaid. – 22 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen